Walaupun tewas dalam persaingan bagi jawatan Naib Presiden, tetapi para penyokong Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan kemampuan beliau meraut lebih 1,000 undi sebagai satu petanda dalam percubaan berikutnya tiga tahun lagi.

Dalam percubaan pertamanya bulan lalu, Mustapa berjaya mendapat 66 pencalonan jumlah keempat tertinggi yang diperolehi oleh calon-calon Naib Presiden.

Pencalonan tertinggi diperolehi oleh penyandang jawatan tersebut Tan Sri Muhyiddin Yassin (159), diikuti oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (119) dan seorang penyandangnya Tan Sri Muhammad Muhd Taib (88).

Manakala empat lagi calon yang mendapat pencalonan mencukupi untuk layak bertanding jawatan tersebut ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad (37), Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (35), Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Shahrir Samad (25), dan Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar (22).

Syed Hamid bagaimanapun menarik kerana hanya mahu bertanding jawatan Majlis Tertinggi.

Bagaimanapun, selepas pemilihan parti pada 23 September lalu, keputusannya telah memihak kepada Mohd Isa yang memperolehi undian tertinggi (1,507), diikuti Mohd Ali (1,327) dan Muhyiddin (1,234).

Pemimpin peringkat nasional

Muhd Taib pula memperolehi 1,177 undi di tangga keempat manakala Mustapa mendapat 1,059 undi di tangga kelima. Adnan dan Shahrir masing-masing mendapat 690 dan 651 undi.

Menurut seorang penyokong kuat Mustapa yang turut berkempen untuknya dalam pemilihan lalu, jumlah pencalonan dan undi yang diterima oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, menunjukkan beliau mendapat sokongan di seluruh negara.

Katanya, keputusan pemilihan bulan lalu juga membuktikan bahawa Mustapa sudah diterima oleh ahli-ahli Umno sebagai seorang pemimpin peringkat nasional.

"Jumlah tersebut menunjukkan hampir separuh daripada 2,483 perwakilan Umno mengundi Tok Pa. Perwakilan dari 14 bahagian di Kelantan hanya berjumlah 182 orang," tambahnya

Daripada jumlah perwakilan tersebut, separuh daripadanya datang dari Johor yang mempunyai 26 bahagian, Sabah (25 bahagian), Perak (24 bahagian) dan Selangor (22 bahagian).

Berdasarkan jumlah maksimum 13 perwakilan dari setiap bahagian, Johor akan menghantar 338 perwakilan, Sabah (325), Perak (312) dan Selangor (286).

Amat menggalakkan

Manakala Kedah yang mempunyai 15 bahagian akan menghantar195 perwakilan,, Pahang 14 bahagian (182), Pulau Pinang 13 bahagian (169) dan Wilayah Persekutuan 13 bahagian (169).

Terengganu yang mempunyai 8 bahagian akan menghantar 104 perwakilan, Negeri Sembilan 8 bahagian (104), Melaka 6 bahagian (78) dan Perlis 3 bahagian (39).

"Jumlah pencalonan juga menunjukkan Tok Pa mendapat pencalonan daripada hampir satu pertiga daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara," tambahnya.

Oleh itu, katanya, jumlah pencalonan dan jumlah undian yang diterima oleh Mustapa dalam pemilihan jawatan Naib Presiden bulan lalu menunjukkan beliau mendapat sokongan menggalakkan dari seluruh negara.

Malah, katanya, walaupun Mustapa berada di tempat kelima, tetapi kalau dibuat perkiraan terperinci, beliau hanya ketinggalan 119 undi di belakang Muhd Taib, Muhyiddin (172), Mohd Ali (270) dan 448 undi di belakang Isa.

"Kalau diambil kira perkara tersebut, kami menganggap pencapaian Tok Pa dalam pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden bulan lalu amat menggalakkan.

"Walaupun terlalu untuk mengatakan sama ada beliau akan mencuba lagi dalam pemilihan parti tiga tahun akan datang, tetapi jika beliau mahu berbuat demikian, harapan beliau semakin cerah," tambahnya.