IGP: Pertukaran Abdul Hamid bukan luar biasa
Diterbitkan: Aug 20, 2015 4:58 PM | Dikemas kini: Aug 20, 2015 7:15 PM
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan bahawa pertukaran timbalan pengarah cawangan khas Datuk Abdul Hamid Bador ke Jabatan Perdana Menteri adalah sebahagian daripada proses pembersihan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata pertukaran itu bukanlah sesuatu yang luar biasa dan dakwaan sebaliknya adalah fitnah semata-mata.
Khalid juga mendakwa Abdul Hamid sedia maklum tentang pertukaran tersebut yang yang ditawarkan selepas beliau menarik balik hasratnya untuk bersara awal.
"Datuk Abdul Hamid tidak pernah diarahkan untuk pergi bercuti. Percutian beliau adalah atas permohonan beliau sendiri untuk tujuan berehat," katanya berkaitan laporan media tertentu yang membuat dakwaan tersebut.
"Pertukaran Datuk Abdul Hamid sebagai timbalan pengarah isu-isu keselamatan dan transnasional (SIS)a adalah sebagai satu pengiktirafan atas kemampuan dan pengalaman beliau dalam menangani isu-isu keselamatan," kata Khalid lagi.
Menurutnya lagi, pertukaran Abdul Hamid bukanlah sesuatu yang luar biasa.
"Sebelum ini, Tan Sri Bakri Omar, Tan Sri Zaman Khan, Datuk Seri Zulkifli Md Noor dan saya sendiri pernah ditempatkan di beberapa agensi kerajaa bagi tujuan memenuhi tuntutan dan keperluan semasa," katanya.
Majlis serah terima tugas dibuat secara tertutup semalam.
Nafi 'pembersihan'
Khalid berkata majlis sedemikian bukanlah satu perkara yang luar biasa dari kebiasaan dan amalan dalam PDRM, lebih-lebih lagi bagi cawangan khas yang tidak pernah mencari publisiti.
Pertukaran Abdul Hamid berlaku kurang daripada satu bulan selepas pelantikan Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun sebagai ketua cawangan khas yang baru, iaitu pada hari yang sama dengan rombakan kabinet dan Tan Sri Abdul Gani Patail digantikan sebagai peguam negara.
Khalid juga menafikan pelantikan Fuzi adalah sebahagian daripada dakwaan proses 'pembersihan'.
"Datuk Seri Mohamad Fuzi sendiri merupakan bekas pegawai cawangan khas yang amat berpengalaman dan dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat yang bersara selepas beberapa kali melanjutkan tempoh kontrak perkhidmatannya," katanya.
Khalid juga memberi amaran kepada media supaya berhati-hati dalam laporan yang mungkin menjejaskan ketenteraman awam.

