Ekoran ketidaktentuan keadaan politik semasa hari ini, Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS) menuntut NGO Melayu-Islam yang telah berbaiah di seluruh negara supaya mengotakan janji taat setianya.

Pengerusinya Syed Husain Al Shahab berkata pihaknya membuat tuntutan itu kerana ramai pemimpin NGO hari ini didakwa gagal menghayati, memahami serta melaksanakan dasar baiah yang diikrarkannya.

Dasar baiah diikrar dengan nama Allah kerana fisabilillah yang antaranya kesetiaan kepada ulil amri ( pemerintah) yang bertanggungjawab untuk agama, bangsa dan tanah air.

"Akhir-akhir ini amat ketara di mana ramai pemimpin NGO tidak lagi sehaluan, tidak mahu berpakat dan tidak mahu duduk berunding isu-isu semasa," katanya.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Syed Husain mendakwa ramai pemimpin NGO Melayu-Islam hari ini mempunyai agenda tersendiri di mana hala tuju mereka tidak dapat dipastikan.

"Antara sebab NGO ini diwujudkan adalah hanya untuk kepentingan peribadi atau kumpulan kecil ahlinya yang tidak sampai 10 orang pun...maknanya 'syok sendiri'."

"Mungkin juga pemimpin NGO ini sendiri berpendidikan rendah, tiada pengalaman atau tiada asas untuk mentadbir serta mengurus satu-satu pertubuhan," katanya.

Menurut Syed Husain lagi, perkara tersebut kini mengundang tanda tanya masyarakat setempat mengenai peranan atau matlamat sebenar ahli baiah ini.

Sehubungan itu, katanya, menyedari akan perkara tersebut YAS bersama lebih 100 NGO bersetuju menggerakkan Sekretariat Persidangan Meja Bulat Ketua-ketua NGO Berbaiah seluruh negara.

"Antara tujuannya ialah penerangan khas pencerahan dasar baiah masa kini. Membuat keputusan satu matlamat sahaja iaitu selaras dengan dasar baiaah kesetiaan kepada ulul amri ," katanya.

Persidangan meja bulat itu akan diadakan pada 26 September depan bermula jam 8.30 pagi hingga 3.00 petang dan bertempat di Dewan Orang Ramai, Kg Paya, Kampung Bharu Kuala Lumpur.