Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahidan: Pindah kerana JPM perlukan pengarah SB

Pertukaran Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibuat atas tujuan perkhidmatan, bukan kerana faktor politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata pertukaran Abdul Hamid ( bawah ) ke JPM adalah kerana jabatan itu memerlukan kepakarannya mengendalikan bahagian keselamatan.

"Dalam keadaan Malaysia diancam keselamatan oleh media sosial dan dari negara luar, maka saya ingat mereka yang pakar diperlukan untuk mengendalikan bahagian keselamatan ini.

"Pertukaran (tempat bertugas) di kalangan penjawat awam dibuat untuk tujuan perkhidmatan... bukan atas sebab politik. Kalau ia (pertukaran) berlaku, itu atas tujuan perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pentauliahan dan perhimpunan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) peringkat kebangsaan di Universiti Sains Malaysia, di George Town hari ini.

Shahidan berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal yang melaporkan Abdul Hamid menerima surat pertukaran ke JPM semalam.

Portal itu melaporkan Abdul Hamid yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia selama 37 tahun, tidak tahu alasan mengapa pertukaran itu dibuat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan mengesahkan pertukaran itu, namun enggan menjelaskan dengan lebih lanjut.

Sementara itu, Shahidan berkata beliau akan mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan namanya sebagai antara 20 Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dengan pembangkang dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan.

Menyifatkan perkara itu sebagai pembohongan yang amat serius, Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu berkata beliau tidak mempunyai alasan untuk menggulingkan kerajaan kerana sudah memegang jawatan yang selesa.

"Saya pegang jawatan yang cukup 'selesa' iaitu sebagai menteri, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Perlis dan anggota Majlis Tertinggi UMNO. Jadi saya tak perlu guling orang.

"Saya cukup bersih sekarang...lagipun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan terang menyebut bahawa 20 orang ini 'bersih', tak terlibat (guling kerajaan)," katanya.

Sabtu lepas, Ahmad Zahid mendedahkan adanya komplot untuk menggulingkan kerajaan dengan cara menarik 37 Anggota Parlimen BN menyertai 87 pembangkang serta seorang Anggota Parlimen Bebas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS