BERITA

Aktivis anti-BERSIH ugut bertembung dalam demo

Shakira Buang

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Ogs 2015, 3:30 pagi

Sekumpulan aktivis memakai baju menyokong Datuk Seri Najib Razak mengugut membawa puluhan ribu peserta bagi menyatakan bantahan pada perhimpunan BERSIH 4 pada 29 Ogos ini.

Mereka, yang menggelarkan diri sebagai “Gabungan NGO-NGO Malaysia”, juga berkata akan berkumpul di depan rumah pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah jika perhimpunan itu diteruskan.

"Jika mereka gagal berbuat demikian BERSIH 4 akan berdepan dengan lebih 30,000 orang yang menolak perhimpunan tersebut," kata pemimpin kumpulan itu Datuk Jamal Md Yunos.

"Kami juga tidak teragak-agak mengumpulkan 6,000 hingga 7,000 orang untuk berkumpul dan berniaga di depan rumah Maria Chin.”

Langkah itu dilihat sebahagian cubaan memberi tekanan kepada BERSIH 4 menjelang perhimpunan besar mereka yang cuma seminggu lebih lagi.

Jamal pada 2012 pernah menerjah rumah pengerusi BERSIH ketika itu Datuk Ambiga Sreenevasan di Kuala Lumpur untuk menuntut ganti rugi didakwa akibat BERSIH 3 pada 28 April tiga tahun lalu.

Beliau juga pernah menarik perhatian dengan menawarkan kereta mewah melalui cabutan bertuah dalam laman Facebook beliau “BERSIH 4.0 pencinta keamanan”.

Ahad lalu sebuah perhimpunan dilapor dibuat di hadapan sebuah kompleks beli belah di Kuala Lumpur bagi menggesa polis menghalang perhimpunan BERSIH.

Sementara itu, Jamal berkata, tindakan tegas perlu diambil memandangkan penganjuran beberapa siri perhimpunan BERSIH pada masa lalu menjejaskan keamanan negara dan menjejaskan imej negara di mata pelancong asing.

Jamal turut menggesa penganjur mengisytiharkan dana yang diperoleh untuk menganjurkan perhimpunan itu.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau juga mendakwa peserta perhimpunan itu dibayar.

Bagaimanapun ketika diajukan soalan siapakah individu tersebut Jamal enggan mendedahkan identiti mereka atas alasan faktor keselamatan.

Turut hadir dalam perhimpunan itu Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali dengan nama Ali Tinju.

Beliau terkenal dengan aksi "senaman punggung" di depan rumah pengerusi BERSIH di rumah Ambiga.

[GALERI FOTO]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan