Sekumpulan aktivis yang memakai baju menyokong Datuk Seri Najib Razak hari ini mengadakan himpunan bagi membantah penganjuran himpunan BERSIH 4 yang akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini.

Himpunan yang dihadiri kira-kira 30 orang turut membawa gambar besar dan melepaskan berang mereka kepada Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.

Peserta himpunan itu memakai kemeja t kuning dengan tulisan “BERSIH 4 cintakan keamanan menyokong kepimpinan DS Najib menolak BERSIH 4 jahat Ambiga menjatuhkan perdana menteri”.

Perhimpunan yang berlangsung selama satu jam itu diakhiri dengan peserta himpunan menyimbah cecair merah ke gambar Maria.

Berang dengan hasrat BERSIH mahu meneruskan perhimpunan itu walaupun tanpa kebenaran polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mereka menampar -nampar gambar tersebut sambil melaungkan “BERSIH 4 jahat”.

Manakala orang awam yang lalu lalang di kawasan pusat membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman sekadar hanya melihat perilaku peserta himpunan itu.

Himpunan tersebut hanya bermula sekitar jam 5 petang dan berakhir sejam kemudian dengan peserta himpunan bertindak membuang gambar Mariah ke dalam longkang berhampiran sebelum menyimbahnya dengan cecair merah.

Malah, ada juga peserta himpunan itu cuba bertindak ganas dengan memijak gambar Maria sebelum bersurai.

Bagaimanapun gambar Maria yang cuba dimasukkan ke dalam longkang tersebut dikutip oleh pekerja pembersihan DBKL.

Perhimpunan itu dipimpin oleh aktivis Datuk Jamal Md Yunos.

Jamal pada 2012 pernah menerjah rumah pengerusi BERSIH ketika itu Datuk Ambiga Sreenevasan di Kuala Lumpur untuk menuntut ganti rugi didakwa akibat BERSIH 3 pada 28 April tiga tahun lalu.

Beliau juga pernah menarik perhatian dengan menawarkan kereta mewah melalui cabutan bertuah dalam laman Facebook beliau “BERSIH 4.0 pencinta keamanan”.

Perhimpunan besar BERSIH itu dijadual diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini di tiga kota besar, iaitu Kuala Lumpur, Kuala Kinabalu dan Kuching.

Di Kuala Lumpur, tempat paling besar, mereka merancang berarak daripada lima tempat tumpuan sekitar ibu kota ke Dataran Merdeka dan bermalam di situ.