Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya bahawa "divine intervention" (campurtangan Ilahi) yang menjadikannya timbalan perdana menteri.

"Saya percaya apa yang berlaku pada saya adalah 'divine intervention'," katanya.

Zahid yang juga naib presiden Umno juga menawar diri untuk bersama Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin untuk turun ke Johor untuk memperkukuhkna keahlian akar umbi Johor

Katanya, beliau secara sukarela akan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin untuk turun padang bagi mengukuhkan akar umbi di Johor.

Zahid berkata demikian ketika berucap kepada perwakilan mesyuarat Umno bahagian Kota Tinggi hari ini.

Zahid berkata Johor sangat penting kepada parti itu dan BN, dan telah lama menjadi simpanan tetap semasa pilihan raya.

Pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencetuskan sentiman anti-Najib dalam Umno Johor, dengan banyak bahagian menyokong bekas Menteri Besar negeri. [Baca berita penuh/asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Zahid menggesa semua anggota Umno yang tidak lagi memegangjawatan supaya kembali kepada parti dan bukannya merosakkannya.

Beliau berkata mereka perlu kembali kepada Umno dan bersama-sama dengan yang lain untuk memperkuatkan parti.

Beliau berkata perlu ada kesalingan antara pemimpin atasan dan akar umbi demi memperkukuhkan semula parti, sekali gus memenangi hati rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Zahid berkata hubungan baik antara pemimpin dan ahli parti amat penting dalam menangani apa jua masalah kerana ia mustahil dapat diselesaikan tanpa kesalingan antara kedua-dua pihak.

"Jangan buat keputusan ketika sedang marah dan ketika kita sedih kerana semua keputusan itu tidak rasional. Ingat, kita tidak hebat kerana yang meletakkan kita hebat adalah Umno," katanya.

"Kita duduk sebagai TPM (Timbalan Perdana Menteri) dan MB (Menteri Besar) adalah kerana Umno. Jadi, bila tiada jawatan, kenapa hendak cucuk, kita perlu terus kukuhkan Umno," katanya.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Md Jais Sarday dan Ketua Umno bahagian Kota Tinggi, Datuk Daing A. Malek Daing A Rahaman.

Menurut Zahid, semua pihak perlu sedar bahawa bukan Umno sahaja yang menghadapi masalah tetapi juga pembangkang dalam parti masing-masing kerana masalah dalaman parti adalah putaran hayat dalam politik.

Beliau dalam pada itu, turut mengingatkan anggota parti supaya tidak termakan dengan cucukan dan fitnah pihak tertentu yang cuba memecah-belahkan parti menggunakan isu semasa seperti 1MDB.

Katanya beliau menyokong gagasan Umno Johor yang mahu siasatan mengenai 1MDB diteruskan sehingga selesai seperti mana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zahid, yang sempat mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum menghadiri majlis perasmian mesyuarat itu, turut menyampaikan harapan Sultan Johor yang mahukan orang Melayu terus bersatu.

"Baginda pesan Umno lahir di Istana Besar pada 11 Mei 1946. Baginda bukan orang politik dan tidak mahu campur tetapi harapan baginda orang Melayu bersatulah," katanya sambil berkeyakinan hanya Umno yang dapat menyatupadukan orang Melayu.