Mkini menang anugerah jenama media untuk kali ketiga
Portal berita bebas Malaysiakini telah dianugerahkan sebagai salah satu jenama terkemuka di Malaysia di majlis Anugerah Putra Brand ke-6 malam ini.
Walaupun Malaysiakini telah memenangi anugerah sebanyak dua kali sebelum ini, tetapi ini adalah kali pertama portal berita itu memenangi perak dalam kategori Media Network.
Ia merangkul anugerah gangsa pada tahun lepas dan di majlis sulung Anugerah Putra Brand pada tahun 2010.
Wayne Lim (gambar, kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia SME, menyampaikan anugerah itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran.
Media lain yang memenangi anugerah dalam kategori Media Network adalah Astro, TV3, dan Era (emas); Hitz FM (perak) dan The Star, ntv7, dan Malaysian Insider (gangsa).
Menurut tuan rumah anugerah itu, Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), Anugerah Putra Brand adalah unik kerana ia dihakimi oleh pengguna di Malaysia sendiri.
Satu sistem pengundian penyelidikan pengguna yang membabitkan 6,000 orang membantu memilih jenama paling digemari di Malaysia yang merangkumi spektrum 18 kategori, dengan tiga jenama teratas dalam setiap kategori diberi penghormatan dengan ranking emas, perak dan gangsa.
Ini adalah persampelan penyelidikan pengguna yang terbesar seumpamanya di seluruh negara yang meliputi Malaysia Barat dan Malaysia Timur.
"Kami berterima kasih kepada pelanggan, pembaca, pengiklan, dan yang paling penting pasukan petugas
Malaysiakini , yang bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menyajikan berita dan pandangan yang penting.
"Anugerah itu mencerminkan bahawa internet hari ini adalah arus perdana, dengan dua jenama internet memenangi anugerah," kata Premesh (foto).
Malaysiakini yang dilancarkan pada tahun 1999, merupakan laman web berita terulung di negara ini.
Menurut comScore, Malaysiakini mempunyai bilangan pelawat tertinggi dalam tempoh enam bulan lalu, untuk mendahului Star Online dan Malaysian Insider .
ComScore yang berpangkalan di Amerika Syarikat merupakan peneraju global dalam analisis digital media.

