DAP menawarkan bantuan guaman kepada Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH) sekiranya dewan tersebut disaman oleh Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu.

"DAP menawarkan khidmat peguamnya jika menteri berkenaan mengambil tindakan undang-undang terhadap SCAH yang menggesanya supaya meletakkan jawatan," kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, parti itu terperanjat dengan tindakan Samy Vellu mengugut untuk menyaman SCAH yang menggesa beliau meletakkan jawatan berikutan kegagalan kerajaan berhubung projek-projek infrastruktur.

"SCAH hanya memenuhi hak demokrasinya untuk meminta seorang menteri meletakkan jawatan kerana kegagalan kementeriannya, dan Samy Vellu enggan bertanggungjawab terhadapnya," katanya.

Lim menegaskan, rakyat Malaysia marah kerana menteri berkenaan tidak prihatin dan tidak bertanggungjawab dengan mengatakan tiada sesiapapun yang bersalah dalam kes-kes kegagalan projek-projek terbabit.

"Macam mana tiada siapa yang bersalah apabila projek-projek kerajaan yang membabitkan berbilion ringgit gagal? Adalah amat memeranjatkan jika tiada pihak yang meminta Samy Vellu letak jawatan di atas sikapnya yang tidak bertangunggajawab itu," kata Lim.

Beliau juga terperanjat kerana menteri berkenaan tidak berani mencabar DAP kerana menggesanya meletakkan jawatan, tetapi sebaliknya menjadi SCAH sasarannya.

"Bagi DAP gesaan supaya Samy Vellu meletak jawatan adalah selaras dengan gesaan-gesaan yang DAP sebelumnya terhadap menteri-menteri MCA yang gagal menjalankan tugas mereka supaya meletakkan jawatan," kata Lim.

Isu perkauman

Minggu lalu, SCAH berkata pihaknya akan melobi sokongan pelbagai pertubuhan di negara ini bagi menuntut perletakan jawatan Samy Vellu selaras dengan gesaan yang sama oleh ahli-ahli politik Barisan Nasional dan pembangkang.

Samy Vellu dalam reaksinya terhadap kenyataan SCAH itu, berkata beliau telah mendapatkan khidmat peguam untuk menimbang kemungkinan mengambil tindakan saman malu terhadap dewan tersebut.

Pemuda MIC pula telah mempersoalkan mengapa SCAH tidak pernah menggesa mana-mana menteri keturunan Cina supaya meletakkan jawatan, dan memintanya menghentikan rancangannya itu, atau menghadapi bantahan secara besar-besaran dari pihaknya.

SCAH bagaimanapun tidak akan berganjak dalam pendiriannya dan bersedia untuk berdepan dengan menteri berkenaan di mahkamah, jika beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Lim berkata, beliau kesal kerana MIC tidak melihatkan isu itu dari sudut kepentingan nasional, tetapi bertindak menjadikannya satu isu perkauman.

"Jika setiap masalah dijadikan masalah perkauman dan bukannya dari perspektif seorang rakyat Malaysia, maka mereka tidak akan dapat menikmati pentadbiran yang baik. Ini kerana tiada pegawai yang lemah, akan ditukar kerana tindakan itu akan dilihat dari sudut bangsa Melayu, Cina, India, Daya atau Kadazan," katanya.