Polis tak guna senjata renjat dalam BERSIH 4
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim hari ini berkata senjata renjat tidak akan digunakan semasa perhimpunan BERSIH 4 hujung minggu ini.
Diminta untuk mengesahkan sama ada senjata itu akan digunakan dalam demonstrasi itu, beliau berkata: "Belum lagi."
"Benda tu kita dah ada. Kita akan agih-agihkan ke berbagai tempat (jabatan polis) ke seluruh Malaysia," katanya dalam sidang medianya hari ini.
Beliau berkata senjata itu terbukti melalui kajian saintifik bahawa dapat melemahkan sesiapa juga termasuk perusuh atau penjenayah.
"Jadi pada masa hadapan, kita akan lebih banyak menggunakan senjata ini," katanya lagi.
Kenyataan Noor Rashid hari ini bagi mengulas kenyataan beliau yang dipetik Oriental Daily semalam yang berkata senjata itu mungkin akan digunakan pada perhimpunan hujung minggu ini.
Dilaporkan polis mungkin akan menggunakan senjata renjat itu terhadap peserta himpunan BERSIH 4.0 jika berlaku insiden rusuhan atau keganasan.
Polis mempunyai beberapa kelengkapan itu dan sebahagian polis yang mahir menggunakannya akan ditugaskan pada hari himpunan tersebut.
Siswa sambut baik tapi...
Sementara itu, Koordinator #Langkahsiswa Mohamad Amar Atan menyambut baik langkah pihak polis tidak menggunakan senjata renjat tetapi berharap kerajaan membenarkan himpunan itu.
"Kalau polis guna senjata untuk menekan rakyat, BERSIH ini dilihat sesuatu yang ganas. Bila perkara ini ditarik ini, jadi menunjukka BERSIH tidak bersikap kekerasan dan merosakkan ketenteraman.
"Bagaimanapun saya mengharapkan (perhimpunan) BERSIH dilulus dan disahkan oleh DBKL dan kerajaan kerana sekarang belum disahkan,” katanya pemuda yang berusia 22 tahun itu ketika ditemui Malaysiakini dekat Parlimen.
Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) itu juga berkata keputusan itu juga mengurangkan ketakutan mahasiswa dan beliau tidak nampak kerajaan terdesak untuk menolak perhimpunan itu.
Sebelum itu, Mohamad Amar berkata tindakan polis menggunakan senjata renjat jika wujud insiden rusuhan dalam perhimpunan itu hanya akan menjuruskan lagi kebangkitan rakyat.
"Tindakan mengancam peserta BERSIH dengan menggunakan senjata renjat (adalah) tindakan (yang) tidak wajar kerana asas BERSIH tidak menganjur kekerasan.
“Polis guna senjata renjat seolah-olah rakyat Malaysia ini mahu buat kekerasan," katanya.
Mohamad Amar berkata sewaktu pemerintahan Sukarno, polis di negara itu turut menggunakan kekerasan terhadap mahasiswa.
"Tujuannya mahu mematikan gerakan itu sendiri namun rakyat bangkit semula melawan kerajaan," katanya.

