Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isteri perdana menteri Rosmah Mansor menyarankan agar lebih banyak tempat penyusuan ibu dibina di tempat awam bagi memberi keselesaan kepada para ibu menyusui anaknya.

Beliau berkata, saranan beliau itu dibuat memandangkan kekurangan tempat penyusuan ibu di tempat tersebut seperti di pusat membeli belah, stesen bas, keretapi dan lapangan terbang.

Dengan memberi contoh di United Kingdom dan Amerika Syarikat, beliau berkata negara itu dilihat lebih terbuka mengenai amalan penyusuan ibu serta memperbanyakkan tempat penyusuan bayi di tempat awam.

"Oleh itu saya menyarankan agar pihak yang terbabit mempertimbangkan untuk mewujudkan tempat penyusuan susu ibu agar para ibu boleh menyusukan bayi mereka dengan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat kebangsaan di Putrajaya hari ini.

Rosmah berkata tanggungjawab untuk menggalakkan penyusuan susu ibu bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab pihak kerajaan dan swasta tetapi ia harus dipraktikkan semua pihak.

Justeru, katanya, sokongan majikan terhadap wanita bekerjaya amat diperlukan bagi membolehkan penyusuan susu ibu dapat diberikan walaupun ketika sedang bekerja.

Majikan juga digalakkan untuk mewujudkan persekitaran kekeluargaan dan mesra kanak-kanak dengan menyediakan bilik khusus penyusuan susu ibu yang selesa serta mempunyai tempat penyimpanan susu, kata Rosmah.

Jika tidak, katanya, ia akan menyebabkan wanita yang bekerja menghentikan penyusuan susu ibu atau meninggalkan kerjaya mereka.

"Masih terdapat beberapa halangan terutamanya dari segi persekitaran kerja yang tidak menyokong penyusuan susu ibu.

"Ini telah menyebabkan para wanita apabila kembali bekerja menghentikan penyusuan susu ibu. Ada juga mencari penyelesaian meninggalkan kerjaya mereka," kata Rosmah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS