Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan penjelasan bahawa wang RM2.6 bilion dalam akaun Datuk Seri Najib Razak disumbangkan kerana peranan Malaysia menyekat penyebaran fahaman kumpulan militan Negara Islam (IS).

Bekas perdana menteri itu berkata, dakwaan tersebut tidak masuk akal memandangkan kumpulan militan itu muncul pada 2014 manakala wang tersebut dimasukkan pada 2013.

"Mengatakan bahawa ia (sumbangan diberi) disebabkan Malaysia mengamalkan Islam yang sederhana adalah tidak masuk akal sama sekali kerana Malaysia tidak pernah mengamalkan Islam yang melampau," tulis Mahathir dalam blognya hari ini.

Selain itu, Dr Mahathir juga meminta supaya Najib dan penyokongnya berhenti meyakinkan rakyat Malaysia bahawa wang RM2.6 bilion tersebut merupakan wang sumbangan.

Malah, Dr Mahathir juga meminta Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan bukti bahawa timbalan perdana menteri itu bertemu ketua pegawai pelaburan dan pemegang amanah harta keluarga Arab yang mendermakan wang tersebut.

"Timbalan perdana menteri yang baru mengatakan telah bertemu dengan penyumbang derma itu. Jadi, buktikan orang Arab ini mempunyai wang yang banyak untuk beri Malaysia dan negara-negara lain.

"(Dari) negara mana, apakah sumber wang itu? Apakah perniagaan yang dia buat? Apakah nama bank yang digunakan. Tunjukkan akaun di bank, cek yang digunakan terutamanya untuk memberi AS$700 juta. Bank penerima sepatutnya memegang cek ini," katanya.

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu juga mendakwa, segala maklumat berhubung pemberian wang tersebut telah disahkan oleh pasukan petugas khas sebelum ini yang terdiri daripada pegawai Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, disebabkan pengesahan itu, Dr Mahathir mendakwa Najib kemudian merombak pasukan petugas khas tersebut.

"Semua maklumat ini mungkin telah disahkan oleh pasukan petugas yang terdiri daripada empat orang. Tetapi Najib merombak pasukan khas itu dengan menyingkirkan Peguam Negara, menghantar ketua SPRM bercuti dan menuduh Bank Negara membocorkan rahsia kerajaan," katanya lagi.