Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tujuh murid Orang Asli hilang di hutan
Diterbitkan:  Aug 27, 2015 11:40 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi dilaporkan hilang di kawasan hutan selepas mandi di sungai berdekatan sekolah itu pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata murid berkenaan melarikan diri ke dalam hutan itu kerana takut diambil tindakan oleh guru kerana mandi di sungai itu tanpa kebenaran.

Enam murid perempuan dan seorang murid lelaki itu yang berusia di antara tujuh dan 11 tahun lari ke kawasan hutan itu yang berhampiran kampung mereka, Pos Tohoi, dan tidak pulang hingga sekarang, katanya kepada pemberita.

Beliau berkata seorang guru sekolah itu membuat laporan polis mengenai kehilangan murid-murid berkenaan kira-kira 2.25 pagi semalam.

Saiful Bahri berkata selepas menerima laporan itu, anggota-anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta penduduk kampung menjalankan operasi mencari mereka, yang dipercayai sesat di dalam hutan itu.

Sementara itu, Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Dendi Johari berkata berdasarkan maklumat, murid terbabit keluar dari asrama sekolah dan mandi di sungai itu tanpa kebenaran.

"Ketika mandi, mereka bertembung dengan guru sekolah lalu terus melarikan diri memasuki kawasan hutan kerana takut dikenakan tindakan.

"Mereka dipercayai sesat dalam kawasan hutan itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS