Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM kecam demo BERSIH tembung sambutan merdeka
Diterbitkan:  Aug 28, 2015 1:17 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengecam penganjur BERSIH 4 kerana merancang mengadakan perhimpunan sewaktu persediaan sambutan kemerdekaan tahun ini.

Sekalipun tidak merujuk kepada BERSIH secara khusus, Najib membidas penganjur mengadaka perhimpunan "tunjuk perasaan" yang dirancang pada masa dan tempat persediaan perarakan hari kemerdekaan akan dijalankan.

"Jika mahu berhimpun sekalipun, pilihlah masa dan kawasan yang tidak mencetus satu provokasi. Walau apapun perbezaan pendapat atau fahaman di antara kita, hari kebangsaan tidak seharusnya dijadikan pentas perselisihan politik," katanya.

Presiden Umno itu menegaskan hari kemerdekaan adalah hari bagi semua rakyat mengenepikan perbezaan dan sama-sama meraikan dengan penuh rasa patriotik dan cinta akan negara.

Najib berkata dalam satu perutusan menjelang sambutan kemerdekaan yang disiarkan dalam blognya hari ini.

Dalam perutusan itu juga, Najib menyeru supaya penganjur sedar bahawa ramai yang berhak menerima penghormatan dan penghargaan menjelang sambutan hari kemerdekaan itu

"Daripada wira-wira negara yang pernah memperjuangkan kemerdekaan hinggalah kepada warga sekolah, pihak logistik dan seluruh kontinjen perarakan lain yang bertungkus-lumus membuat persediaan meraikan sambutan kemerdekaan tahun ini.

"Apakah wajar perhimpunan ini dijalankan pada masa dan tempat yang begitu hampir dengan hari kemerdekaan kita? Fikirkanlah," kata Najib.

BERSIH 4 akan berlangsung 34 jam bermula esok di tiga kota besar, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Ia berlangsung ketika Najib sedang berdepan isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya, kontroversi 1MDB serta kejatuhan teruk nilai ringgit.

Lihat Komen
ADS