Unit Amal PAS hari ini melarang anggotanya memakai seragam jabatan itu dan sebarang pakaian yang mempunyai lambangnya dalam perhimpunan BERSIH 4 bermula esok.

Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia Mohd Nasree Mohd Aris juga memberi amaran mengambil tindakan undang-undang jika ada individu bukan anggota yang memakai seragam mereka, lapor Harakahdaily .

Nasree juga berkata tidak akan bertanggungjawab ke atas mana-mana anggotanya yang melanggar arahan dan jika berlaku kejadian tidak diingini segala liabiliti akan ditanggung sendiri individu itu.

Beliau juga memaklumkan tidak menerima arahan daripada pimpinan PAS untuk bertugas mahupun menyertai himpunan BERSIH 4, selari dengan keputusan tidak mengerahkan ahli turut serta.

Justeru, katanya, sekiranya terdapat anggotanya yang menyertai himpunan ia, atas dibuat atas kapasiti dan kemahuan sendiri.

Unit itu bagaimanapun menegaskan menyokong tuntutan BERSIH.

"Jabatan Amal Malaysia menyokong tuntutan BERSIH 4.0 dan berharap segalanya akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah," katanya.