Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir: Hadir demo jalan terakhir singkir Najib
Diterbitkan:  Sep 1, 2015 12:25 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, beliau hadir sebanyak dua kali ke perhimpunan BERSIH 4 kerana itulah jalan terakhir untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Katanya, beliau terpaksa bertindak demikian susulan sekatan yang dijalankan Najib ke atas siasatan 1MDB dan isu wang RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri itu.

“Kita boleh buat laporan polis, dengan harapan polis dan Pendakwa Raya akan ambil tindakan, menghadapkan pihak yang dituduh ke mahkamah.

“Tetapi sekarang Najib sudah bubar dan musnahkan institusi-institusi Kerajaan yang ditugas untuk melindungi hak rakyat.

“Semua saluran untuk menyiasat 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun Najib sudah tidak lagi ada,” katanya.

Oleh itu, beliau menyertai perhimpunan anjuran gabungan NGO tersebut kali ini, yang membawa tema tuntutan agar Najib berundur.

"Segala cara menukar Perdana Menteri yang mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara sudah ditutup oleh Najib.

“Hanya dengan suara keramat rakyat dibantu dengan undi tidak percaya (di) Dewan Rakyat sahaja yang boleh menjatuhkan Najib dan menyelamatkan negara daripada perasuah.

“Oleh itu saya terpaksa menyertai demonstrasi jalanan anjuran BERSIH yang bertema singkirkan Najib kerana rasuah,” katanya dalam satu tulisan di blog chedet.cc.

Mahathir berkata demikian bagi menjawab persoalan yang timbul atas tindakannya itu.

“Ramai yang tertanya-tanya apakah saya sudah jadi penyokong Bersih. Apakah saya sokong parti lawan DAP dan (Lim) Kit Siang. Ada juga yang bertanya saya sudah memihak kepada orang Cina,” katanya.

Bekas presiden Umno itu juga mengakui bahawa beliau sebelum ini menolak tindakan demonstrasi jalanan.

“Saya pernah menyatakan demonstrasi jalanan tidak harus diguna untuk tekanan politik kerana ia menjejaskan perniagaan terutama perniagaan kecil dan ekonomi negara.

“Saya tidak setuju dengan tunjuk perasaan kerana ada saluran lain yang boleh digunakan untuk menekan kerajaan apabila menyalahguna kuasa,” katanya.

Lihat Komen
ADS