Seorang senator dari MIC, M Saravanan menafikan beliau telah mengetuai sekumpulan ahli parti itu untuk membuang dua sepanduk yang menggesa presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Kerjaraya.

Kita dihubungi hari ini, Saravanan yang juga setiausaha MIC Wilayah Persekutuan, berkata beliau secara kebetulan berada di luar Dewan Perhimpunan China Selangor (SCAH) Isnin lalu.

Dua sepantuk tersebut dipasang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sebuah jejantas di luar SCAH, tetapi kemudiannya telah dibuang kira-kira sejam kemudiannya oleh sekumpulan 15 orang yang didakwa diketuai oleh Saravanan.

"Saya kebetulan melalui kawasan tersebut dan melihat orang ramai mulai berkumpul di situ. Ianya bukanlah sesuatu yang dirancang ataupun saya yang mengarahkan mereka berbuat demikian.

"Sekiranya saya tahu PKR mahu memasang sepanduk tersebut, sudah tentunya saya akan membawa ribuan ahli MIC untuk menghalangnya... parti kami mampu melakukannya," katanya.

Beliau juga menafikan bahawa kumpulan tersebut telah menurunkan sepanduk tersebut, tetapi sebaliknya mendakwa ianya diturunkan oleh anggota polis yang turut berada di situ.

"Kami mempunyai foto yang mencukupi untuk menunjukkan sepanduk tersebut dibawa oleh anggota polis beruniform dan bukannya kami," kata Saravanan sambil menambah beliau sedia memberi keterangan untuk membantu siasatan polis.

Ditanya sama ada beliau mengenali anggota kumpulan tersebut, katanya beliau tidak mengenali mereka secara dekat, tetapi antara mereka adalah ahli parti itu.

Beliau juga mendakwa kumpulan tersebut begitu pantas membuang sepanduk tersebut, ketika penyokong parti itu berada di SCAH untuk persiapan untuk majlis pelancaran sebuah album pda malam itu. Samy Vellu telah dijemput untuk merasmikannya.

Saravanan juga mengecam kempen PKR untuk memasang sepanduk di seluruh negara untuk menggesa Vellu supaya meletakkan jawatan ataupun dipecat.

Menurutnya lagi, kempen seperti itu sepatutnya dikutuk kerana ianya tidak selaras dengan tindakan 'satu masyarakat yang bertamadun'.

Siasatan polis

Sementara itu, pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Affendi Hussin memberitahu malaysiakini bahawa siasatan sedang dijalankan selepas menerima aduan daripada pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin Isnin lalu.

"Saya telah meminta Badrul dan Saravanan menemui saya untuk memberi keterangan, tetapi belum seorangpun yang datang," kata Affendi..

Katanya, perbuatan membuang bahan-bahan yang melanggar undang-undang adalah tugas pegawai penguatkuasa, dan bukannya ahli mana-mana parti politik.

Sementara itu, Badrul ketika dihubungi berkata, beliau akan menemui pihak polis Jumaat ini. Malah, katanya, belaiu juga akan mengemukakan rakaman video bagi menyokong aduannya itu.

Dua sepanduk tersebut berbunyi 'What do we want? Samy out now' dan' bela hak rakyat, pecat Samy segera' .

Samy Vellu dikritik hebat oleh ahli-ahli politik pembangkang dan juga daripada Barisan Nasional, yang menggesa beliau meletakkan jawatan berikutan beberapa projek bermasalah yang membabitkan kementeriannya.

Beliau bagaimanapun, mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berpuas hati dengan penjelasannya berhubung masalah yang membabitkan enam projek kerajaan di bawah kementeriannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, bagaimanapun berkata beliau tidak berpuashati dengan penjelasan itu berhubung sebuah hospital di Johor yang berkulit walaupun baru disiapkan.