Dua calon untuk timbalan presiden PKR
Dua pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Dr Syed Husin Ali dijangka disahkan bagi jawatan masing-masing sebagai Presiden dan Timbalan Presiden dalam perhimpunan agung parti itu pada 18 dan 19 Disember depan.
Dua pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Dr Syed Husin Ali dijangka disahkan bagi jawatan masing-masing sebagai Presiden dan Timbalan Presiden dalam perhimpunan agung parti itu pada 18 dan 19 Disember depan.
Kedua-duanya dilantik menerajui PKR yang ditubuhkan selepas penggabungan parti Keadilan pimpinan Wan Azizah dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pimpinan Syed Husin Ogos lalu.
Walaupun bekas setiausaha agung PKR, Abdul Rahman Othman turut dicalonkan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, tetapi beliau belum menerimanya secara rasmi.
Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung PKR selepas beliau kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu Mac bagi kerusi Parlimen Putrajaya.
Beliau juga turut menghantar surat perletakan jawatannya daripada parti tersebut tetapi kemudiannya telah dipujuk supaya menerima jawatan ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT).
Tarikh akhir pencalonan bagi kesemua 29 jawatan dalam MPKT akan ditutup pada 5 November depan. PKR mempunyai seramai 62 ahli MKT iaitu 29 dipilih dan 33 lagi dilantik.
Perwakilan
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Mustaffa Kamil Ayub memberitahu malaysiakini bahawa perhimpunan tersebut akan berlangsung di Sekolah Pooi Nam di Ipoh dan dijangka dihadiri oleh 1,200 perwakilan dan 2,000 pemerhati.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan tersebut, berkata pergerakan Pemuda dan Wanita akan mengadakan perhimpunan masing-masing sehari lebih awal di tempat yang sama masing-masing akan dihadiri oleh 700 dan 800 perwakilan.
Ditanya sama ada akan berlaku perebutan jawatan dalam perhimpunan kali ini, Mustaffa berkata ianya hanya akan diketahui selepas tempoh pencalonan berakhir pada 5 November depan.
"Buat masa ini, saya tidak boleh membuat sebarang spekulasi," katanya.
Menurutnya lagi, satu panduan dan etika pemilihan telahpun disiapkan dan akan dihalusi oleh jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh Ibrahim Suffian yang juga pengarah Pusat Merdeka.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua menjangka bakal berlaku perbincangan hangat semasa perhimpunan tersebut berikutan perkembangan politik semasa, terutama selepas pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim awal bulan lalu.
Tetamu kehormat
"Bagaimanapun, saya percaya para perwakilan dapat membezakan calon yang bekerja kuat untuk parti. Calon-calon yang menawarkan diri pada saat akhir, mungkin hadapi kesukaran (untuk menang)," tambahnya.
Sejak ditubuhkan Ogos lalu, PKR terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran , termasuk masalah dalaman yang membabitkan mereka yang tidak bersetuju dengan penggabungan Keadilan dan PRM.
Parti itu juga menghadapi masalah untuk mendapatkan kelulusan pendaftarannya daripada pihak berkuasa kerana mengekalkan perkataan 'Keadilan' sebagai singkatan nama parti tersebut.
Pendaftarannya hanya diluluskan selepas parti itu bersetuju untuk menggunakan singkatan PKR.
Menurut Tian Chua lagi, perhimpunan kali ini dijangka dihadiri ramai pemerhati kerana ia adalah perhimpunan agung pertama PKR di samping kesediaan Anwar untuk hadir sebagai tetamu kehormat.
Bekas timbalan perdana menteri itu yang juga penasihat PKR dijangka berucap di majlis makan malam yang diadakan sempena perhimpunan parti itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.