Sifar pembangkang: PAS anggap Idris Jusoh angkuh
Beberapa pemimpin PAS Terengganu menyifatkan kenyataan Menteri Besar Datuk Idris Jusoh untuk menjadikan negeri itu 'sifar pembangkang' dalam pilihanraya umum akan datang, sebagai 'kebudak-budakkan dan angkuh'.
Beberapa pemimpin PAS Terengganu menyifatkan kenyataan Menteri Besar Datuk Idris Jusoh untuk menjadikan negeri itu 'sifar pembangkang' dalam pilihanraya umum akan datang, sebagai 'kebudak-budakkan dan angkuh'.
Kata mereka, Idris nampaknya seperti terlalu yakin dengan kuasanya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Naib Presiden PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, sebagai seorang pemimpin politik, Idris sepatutnya faham bahawa sokongan kepada sesebuah parti itu ada pasang dan surutnya.
"Cakap Idris adalah cakap budak-budak, saya tidak tidak boleh layan, saya tidak boleh komen," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Idris yang mahu Terengganu sifar pembangkang pada pilihanraya umum 2008.
Dalam pilihanraya umum Mac lalu, BN menumbangkan kerajaan PAS pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mula berkuasa pada 1999, apabila memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri, tewas di kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri itu.
Pilihanraya umum itu juga menyaksikan kekalahan beberapa tokoh PAS termasuk Mustafa sendiri, Nasharuddin Mat Isa (setiausaha agung) dan ramai lagi. Hadi sendiri kalah di Parlimen Marang kepada calon Umno, Datuk Abdul Rahman Bakar.
Pencapaian itu dianggap mengulangi kejayaan BN Terengganu pimpinan bekas Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dahulu, apabila berjaya menyapu bersih kesemua 28 kerusi DUN dan tujuh kerusi parlimen di dalam pilihanraya umum 1978.
Matang berpolitik
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Muhyiddin Rashid pula menyifatkan kenyataan "Idris itu sebagai tidak berpijak di bumi nyata dan kenyataan yang keterlaluan."
"Percakapan Idris itu tidak sesuai dengan pemimpin dari Terengganu yang terkenal dengan kesopanannya.
Adakah dengan menjadi Menteri Besar dan Majlis Tertinggi (MT) kita boleh bercakap sesuka hati," tanyanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Menurutnya, Idris kelihatan seperti mahu merendah-rendahkan rakyat Terengganu yang dikenali umum cukup matang dalam berpolitik.
Malah, beliau mendakwa, sejak hampir setahun BN memerintah Terengganu, belum ada satupun program baru baik dari segi pertanian, perdagangan, perumahan dan perhutanan baru yang dilaksanakan untuk rakyat negeri itu.
"Mereka hanya meniru dasar lama yang dibuat oleh PAS dahulu semasa Umno menjadi pembangkang. Mereka kata dasar yang PAS buat itu untuk menjahanamkan rakyat," tegasnya lagi.
Menurutnya, rakyat Terengganu kini boleh membuat perbandingan di antara kerajaan BN pimpinan Idris dengan kerajaan PAS pimpinan Hadi dahulu.
Rakyat Terengganu, katanya, tidak seperti yang disangkakan oleh Idris dan pemimpin Umno yang lain.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.