Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar dakwa Zahid sekat jumpa peguamnya
Diterbitkan:  Sep 10, 2015 11:49 AM
Dikemaskini: 4:13 AM

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Menteri Dalam Negeri Zahid menyekat pertemuan beliau dengan peguam di penjara untuk diberikan arahan bagi melibatkan 16 kes sivil dan jenayah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh ibu pejabat PKR hari ini, Anwar menyifatkan sekatan itu melanggar hak beliau mendapatkan nasihat guaman sekaligus menghalang peguamnya melaksanakan tugas.

"Saya amat kesal dengan keputusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyekat perjumpaan peguam-peguam dengan saya bagi tujuan perjalanan kes-kes di Mahkamah.

"Tindakan ini telah menafikan saya daripada berbincang dan memberi arahan mengenai kes-kes Mahkamah, yang mana saya terlibat dalam sejumlah 16 kes sivil dan jenayah," kata Anwar.

Sebagai contoh, pada semalam, Anwar berkata peguam beliau N Surendran dan Datuk Ambiga Sreneevasan tidak dibenarkan berjumpa dengannya walaupun mereka perlu mengambil arahan untuk kes mahkamah masing-masing pada 15 September dan 5 Oktober.

"Sebelumnya, peguam dihalang berjumpa walaupun ada afidavit untuk diikrarkan pada kadar segera," katanya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa kerajaan menghormati undang-undang dan proses mahkamah dengan membenarkan peguam beliau menjalankan tugas dengan sempurna dan tanpa gangguan.

Anwar kini dipenjara lima tahun di penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah dalam kes liwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Lihat Komen
ADS