Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PKR meraikan semua pandangan rakannya dalam pembangkang namun tetap berpendirian bahawa PAS perlu berada dalam gabungan pakatan yang baru.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali turut mengulangi pendirian bahawa PAS perlu bersama gabungan pembangkang yang baru merupakan keputusan parti dan bukan pandangan peribadi.

"Pandangan kawan-kawan kita raikan.

"Ini keputusan parti kerana KEADILAN sentiasa ambil sikap inklusif dan menerima mana-mana parti yang mahu majukan reformasi. Ini pendirian kita.

"Jadi kita berharap semua pihak kena menghargai kesulitan dalam rundingan bersama rakan kita dalam pakatan seperti ini," katanya.

Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata demikian ketika ditemui pemberita di Shah Alam hari ini.

Selasa lalu, Azmin berkata, PKR menegaskan pendirian bahawa PAS sepatutnya berada dalam gabungan pembangkang yang baru.

Bagaimanapun, kenyataan Azmin itu dikritik oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Azmin memberi penjelasan berhubung kenyataannya yang mahu PAS dalam gabungan pembangkang yang baru.

Ramkarpal pula dalam kenyataan medianya hari ini menyifatkan Azmin sebagai "sakit" kerana mahu meneruskan kerjasama dengan PAS dan Abdul Hadi yang didakwa sebagai individu bertanggungjawab memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Ditanya sama ada beliau akan bertemu dengan pimpinan DAP berikutan bantahan keras mereka terhadapnya, Azmin berkata beliau menerima segala pandangan dengan terbuka.

"Saya terima baik. Saya terima dengan berlapang dada. Kami adalah rakan. Kami telah bersama bertahun-tahun.

"Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng umpama adik saya dan kami boleh bekerja bersama," kata Azmin.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti Islam itu tidak akan menyertai pakatan baru kerana tidak mempunyai agenda memartabatkan Islam dan hanya mahu memenangi pilihan raya akan datang, Azmin berkata:

"Tak apalah. Itu pandangan dia," kata ADUN Bukit Antarabangsa itu lagi.

Lihat Komen
ADS