Puteri Umno Terengganu bimbang kerana tidak ramai ahli pergerakan itu yang bersedia untuk diketengahkan bagi mengambilalih kepimpinan sedia ada pada masa akan datang.

"Puteri Umno Terengganu bukannya kekurangan calon pemimpin yang berwibawa tetapi masalahnya ramai enggan menonjolkan diri," kata Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie.

Katanya, ini kerana hampir separuh daripada 13,000 ahli Puteri Umno Terengganu menganggur, dengan sebahagiannya lepasan pusat pengajian tinggi tempatan, kerana kurang peluang pekerjaan di negeri itu.

Keadaan ini, katanya, merencatkan usaha pihaknya untuk melahirkan lebih ramai pemimpin di kalangan Puteri Umno.

"Tidak ada yang maju ke depan menjadi pemimpin jika mereka sendiri tiada pekerjaan," katanya ketika dihubungi malaysiakini .

Menurut Nordiana, beliau mahu melepaskan jawatan Ketua Puteri Umno negeri kerana mahu menumpukan perhatian kepada kegiatan Puteri di peringkat pusat, terutama membabitkan Biro Agama yang diketuainya.

Nordiana dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno bersama dua lagi pemimpin Umno Terengganu, iaitu Menteri Besar Datuk Idris Jusoh dan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah mat Zin.

"Bagaimanapun, Menteri Besar (Datuk Idris) meminta saya memegang untuk sepenggal lagi iaitu sehingga tahun 2007.

Beri laluan

"Datuk setuju saya berhenti pada pemilihan Umno akan datang tetapi dengan syarat mencari seorang pengganti yang berwibawa untuk menyaingi pengaruh Muslimat PAS Terengganu," katanya.

Menurutnya, kebanyakan wanita Terengganu adalah pemalu dan tidak mahu menonjolkan diri dan lebih bersikap `memberi laluan kepada orang lain'.

"Nampaknya mereka kurang keyakinan kerana terlalu pemalu," ujarnya ketika dihubungi.

Katanya, ada juga yang memberi alasan suami marah, malu kepada orang kampung, ibu bapa tidak setuju dan yang paling meruncing ialah ramai ahli Puteri Umno Terengganu adalah penganggur.

"Kerana masalah pekerjaan, ada sesetengah ahli Puteri yang mengambil keputusan bekerja di negeri lain selepas tamat pengajian. Tidak kurang juga yang berhijrah, terutamanya ke Kuala Lumpur dan Johor," katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya, beliau pernah mencadangkan kepada menteri besar supaya memberi peluang pekerjaan kepada ahli Puteri Umno yang berkelayakan.

Nordiana juga berkata, pihaknya bertekad untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50 ahli baru setiap bulan bagi menyaingi pengaruh Muslimat PAS yang giat mengukuhkan semula sayap parti mereka, selepas kalah teruk pada pilihanraya umum lalu.

Beliau yakin dapat mencapai sasaran tersebut kerana menurutnya sambutan wanita muda di Terengganu terhadap Puteri Umno cukup menggalakkan.