Kami sihat, Umno hanya buat cerita

Muda Mohd Noor        

Dua wakil rakyat PAS di Kelantan yang didakwa oleh Umno negeri itu sebagai sedang sakit dan lumpuh adalah sihat dan dapat menjalankan tugas mereka seperti biasa.

Kedua-duanya Ahli Dewan Undangan (Adun) Perupok, Omar Mohamad dan Adun Demit - Mohd Daud Iraqi menafikan mereka sakit dan tidak boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Oleh itu, mereka menasihatkan rakyat Kelantan, terutama penyokong PAS, supaya tidak memikirkan soal pilihanraya kecil mengejut sepertimana yang diharap-harapkan oleh Umno Kelantan.

Mereka juga sependapat bahawa dakwaan itu sengaja dibuat oleh pihak-pihak tertentu, terutama Umno, untuk menjatuhkan imej kerajaan PAS Kelantan, selain menjejaskan nama baik mereka sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Omar berkata, beliau menjalankan tugas sebagai seorang wakil rakyat seperti biasa, termasuk melawat penduduk di kawasannya serta menghadiri sebarang program yang diatur oleh parti.

"Sehingga hari ini saya tidak pernah menolak program anjuran parti atau yang dibuat di kawasan yang saya wakili ini (Perupok)," katanya sebagai menjawab dakwaan beberapa pemimpin Umno Kelantan yang mendakwa beliau tidak dapat bertugas kerana sakit.

Selepas perlantikannya baru-baru ini, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa telah meminta jentera pilihanraya parti itu digerakkan segera bagi menghadapi kemungkinan berlaku pilihanraya kecil secara mengejut ekoran beberapa Adun PAS sedang sakit.

Selalu lawat kawasan

Setiausaha Perhubungan Umno Kelantan, Mohd Nawawi Yusof pula, walaupun tidak menyebut nama dua wakil rakyat PAS berkenaan, jelas menjurus kepada Adun Perupok dan Demit.

Ketika wartawan malaysiakini menghubungi Omar, beliau sedang berada di pejabatnya dan menurutnya sedang melayani beberapa tetamu yang datang menemuinya.

"Saya ada mendengar yang kata saya lumpuh dan tidak boleh berjalan dan berita ini tersebar sejak pilihanraya umum lalu lagi, sedangkan saya mengangkat sumpah dan menghadiri perbahasan Dewan Undangan Negeri Kelantan," katanya yang sudah 18 tahun menjadi wakil rakyat dengan memegang pelbagai jawatan seperti Exco Kerajaan Negeri dan Speaker DUN.

Katanya, beliau akan terus melawat kawasannya Perupok sebagai sebahagian tugasannya sebagai wakil rakyat selain menghadiri program parti baik di Kelantan ataupun di negeri lain.

Manakala Mohd Daud yang juga bekas Exco kerajaan negeri selama sembilan tahun mulai 1995, berkata, cerita yang tersebar mengatakan beliau lumpuh dan tidak boleh berjalan, telah sengaja direka oleh Umno untuk menaikkan semangat penyokongnya di Kelantan.

"Umno menjaja cerita bahawa akan berlaku pilihanraya kecil secara mengejut bagi kawasan saya (Demit) kerana saya lumpuh teruk, sedangkan saya sudah sembuh 90 peratus dan mendapatkan rawatan ulangan di Hospital Kota Bharu sebulan sekali.

"Saya boleh memandu kereta ke mana-mana, ke kebun dan berjumpa rakyat setiap hari. Adakah orang lumpuh boleh melakukan kerja ini semua," tegasnya.

Rekod Annuar

Menurutnya, pemimpin Umno memang mengharapkan pilihanraya kecil diadakan kerana mereka akan mendapat banyak projek yang dicurahkan oleh Kerajaan Pusat.

Beliau juga berkata. tidak ada sebab baginya untuk meletakkan jawatan seperti yang diharap-harapkan oleh Umno, kerana beliau masih sihat dan bekerja untuk rakyat di kawasannya.

"Ketika Adun Umno di Ketereh, Datuk Ariffin Abdul Hamid terlantar tidak boleh bergerak berbulan-bulan, satu masa dahulu, PAS tidak pernah mendesak beliau meletakkan jawatan supaya diadakan pilihanraya kecil.

"Tetapi apabila saya sakit, Umno tidak henti-henti membuat cerita kononnya pilihanraya kecil secara mengejut akan diadakan. Apakah maksud semuanya ini?" katanya lagi yang memenangi pilihanraya kecil kawasan kecil Lundang sejak 1994. Nama DUN Lundang kemudiannya ditukar kepada Kenali dan kini dikenali sebagai DUN Demit.

Mohd Daud berkata, perlantikan Annuar sebagai Pengerusi Umno Kelantan tidak akan mengubah apa-apa 'kerana orang tahu rekodnya selama ini'.

"Siapakah yang tidak ingat dengan kes penyelewengan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kelantan dan Terengganu semasa Annuar menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar," katanya.

Katanya, hanya orang Kelantan yang lebih tahu mengenai Annuar sama ada beliau mampu menjadi pemimpin yang baik seperti yang diidam-idamkannya, dalam pilihnaraya umum akan datang.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In