Malaysia sekali lagi digesa menggesa Thailand supaya memulakan inisiatif mengadakan rundingan dengan kerajaan itu bagi menyelesaikan konflik di kawasan majoriti orang Islam di Selatan Thailand.

Ketika membuat gesaan tersebut, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) juga mahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku pemimpin Malaysia serta Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), meneruskan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penyelesaian konflik.

Pada masa yang sama, katanya, OIC dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) perlu menggesa masyarakat antarabangsa supaya memberikan tekanan kepada Thailand untuk mengembalikan keadilan dan keamanan di rantau selatan negara itu bagi menamatkan diskriminasi dan tragedi pencabulan hak asasi.

Pemangku Presiden Karisma, Wan Muhammad Wan Ibrahim berkata Karisma mengecam sekeras-kerasnya keganasan, penindasan dan pencabulan hak asasi manusia oleh pihak keselamatan Thailand di Tak Bai, Narathiwat pada 25 Oktober lalu.

"Aksi pembunuhan beramai-ramai tersebut merupakan perbuatan kejam yang dibimbangi akan meningkatkan keganasan bukan sahaja di wilayah terbabit tetapi juga di kawasan sekitarnya," tambahnya.

Malah, tegas Wan Muhammad, penggunaan kuasa tentera secara berlebihan juga harus dilihat sebagai meminggirkan Undang-Undang Antarabangsa yang telah dipersetujui.

"Apakah dunia bisa membisu dengan kekejaman ini selepas peristiwa berdarah Tak Bai dan tragedi Masjid Krisek yang mengorbankan lebih seratus nyawa tanpa sedikit pun rasa perikemanusiaan?" tegasnya.

Suruhanjaya bebas

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Thailand perlu memberikan perhatian serius dan menimbang rintihan penduduk di Wilayah Selatan tanpa melibatkan konflik tersebut dengan isu pengganas.

"Ini kerana rantaian peristiwa berdarah ini dilihat mempunyai hubungkait dan berakar daripada diskriminasi hak asasi rakyat serta tahap pembangunan sosioekonomi yang rendah di wilayah terbabit.

"Kerajaan Thailand juga perlu menggunakan pendekatan memenangi hati rakyat serta menimbang semula keperluan penggunaan kuasa berlebihan oleh pasukan keselamatan dan tentera untuk menangani rakyat di wilayah terbabit, yang dilihat lebih banyak mendatangkan kesan negatif," tambahnya.

Karisma juga berkata kerajaan Thailand perlu membentuk suruhanjaya bebas untuk mengkaji tragedi ini dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan serta memberi pampasan kepada mangsa dan keluarga mangsa.

Katanya, kelab itu juga menuntut supaya Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam seluruh dunia atas kekejaman ini.

Pada yang sama, katanya, kerajaan Thailand hendaklah membangunkan taraf sosioekonomi dan memberikan hak pendidikan kepada komuniti minoriti Islam secara saksama.