Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Tanggal 16 September adalah hari penuh bermakna bagi memperingati sejarah pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka dan bertamadun dengan penggabungan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak.

Melayu sering dipolemikkan sebagai kaum asal negara ini. Namun sejarah menunjukkan bahawa kaum lain juga memainkan peranan penting dalam sejarah pembentukan Malaysia.

Laksamana Cheng Ho yang pernah berkunjung ke Kota Melaka pada kurun ke-15 dikatakan antara penyebar awal agama Islam. Ketika itu, Parameswara yang membuka Kota Melaka asalnya masih menganut agama Hindu. Namun, tidak berlaku persengketaan kaum dan Melaka membangun dengan pesatnya.

Kembalikanlah sejarah kegemilangan Melaka. Melaka gemilang bukan kerana hebatnya Melayu, tetapi kerana kebijakan dan amanahnya kerajaan kesultanan Melaka memerintah dengan menjadikan perdagangan sebagai industri utama tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.

Malaysia mampu menjadi gemilang dan terus membangun sepertimana sejarah Melaka dahulu jika ekonomi negara diuruskan dengan bijak dan bersih.

Mewujudkan 1MDB sebagai syarikat pelaburan negara bukanlah bijak jika hutangnya mencecah RM42 billion. Tidaklah bersih pengurusan ekonomi negara jika wang rakyat di dalam Tabung Haji dan LTAT disalahgunakan bagi membantu 1MDB melunaskan hutangnya.

Hilangnya sifat amanah di kalangan pemimpin adalah faktor yang akan merencatkan pembangunan sesebuah negara. Ambillah iktibar daripada sejarah kejatuhan empayar Islam. Kesan akhirnya adalah kebajikan rakyat terabai dan hidup menderita.

Lupakan kaum mana yang lebih tuan di negara ini. Hormati hak dan kebebasan setiap kaum. Keharmonian kaum adalah kunci kejayaan negara ini.

Amalkan semangat 1Malaysia yang meliputi keadilan pembahagian kekayaan negara kepada setiap lapisan dan latarbelakang rakyat dari Perlis hingga ke Johor dan merentasi Laut China Selatan ke Sabah dan Sarawak.

Semoga Hari Malaysia tahun ini dapat merapatkan jurang antara kaum dan memadamkan api permusuhan dari pihak yang mempunyai kepentingan dan motif tertentu.

Peliharalah semangat pembentukan Malaysia yang telah diasaskan 52 tahun dahulu dan janganlah dikhianatinya. Hentikanlah sentimen perkauman dan pelaksanaan perlulah disambut dahulu oleh pemerintah.

Peliharalah semangat dan nilai 1Malaysia yang telah dibina berasaskan keunikan kepelbagaian kaum dan etnik di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak agar rakyat terus hidup dalam keadaan yang sejahtera.

Amanahlah dengan kuasa yang dipinjamkan untuk sementara.


FAIZ FADZIL timbalan ketua pemuda parti AMANAH.

Lihat Komen
ADS