Nasihat AS: Berhati-hati kunjungi pusat peranginan di Sabah
Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya lagi perbuatan menculik rakyat asing di kawasan peranginan di sekitar kawasan pantai timur Sabah.
Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya lagi perbuatan menculik rakyat asing di kawasan peranginan di sekitar kawasan pantai timur Sabah.
Beberapa kejadian culik dan serangan lanun telah berlaku di kawasan berkenaan sejak tahun 2001.
Antara kejadian terbaru yang dilaporkan ialah kes penculikan enam rakyat Indonesia dan Filipina yang bekerja di sebuah pusat peranginan di Timur Sabah pada bulan Oktober 2003.
"Terdapat tanda-tanda penculikan mungkin berlaku lagi di kawasan pantai timur Sabah, terutama di pusat-pusat peranginan yang menjadi tumpuan rakyat asing," kata satu kenyataan Jabatan Negara Amerika semalam.
Dalam pengumuman itu juga, ia mengingatkan rakyat Amerika supaya lebih berhati-hati ketika mengunjungi kawasan-kawasan peranginan terbabit.
"Kerana adanya tanda-tanda bahawa ancaman penculikan ini masih berterusan, maka rakyat Amerika perlu lebih berhati-hati ketika mengunjungi kawasan pantai timur Sabah," kata kenyataan tersebut, yang terbaru selepas peringatan yang sama, dikeluarkan Mei lalu.
Menurut kenyataan itu lagi, sejak tahun 2001, pihak berkuasa Malaysia telah mengetatkan kawalan keselamatan di wilayah terbabit, namun Sabah mempunyai kawasan laut yang luas yang terletak di antara tanah besar dengan kepulauannya.
"Bantuan kecemasan mungkin tidak terdapat di situ," katanya.
Selatan Thai
Kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di selatan Filipina, yang dikaitkan dengan Kumpulan al-Qaeda, terbabit melakukan beberapa kes penculikan sebelum ini untuk bagi mendapat wang terbusan.
Menurut Jabatan Negara Amerika itu lagi, kumpulan-kumpulan ekstremis di rantau ini mampu melancarkan serangan ke lokasi di luar wilayah mereka yang menjadi kunjungan para pelancong dari Barat, tanpa mengira sama mereka ini pegawai ataupun rakyat biasa.
Ia juga menasihatkan rakyat Amerika supaya berhati-hati ketika melakukan perjalanan darat dari Malaysia untuk masuk ke Selatan Thailand.
Keadaan di wilayah Narathiwat menjadi tegang sejak 87 penduduknya terbunuh ketika pihak keselamatan Thailand menggunakan semburan air, gas pemedih mata serta melepas tembakan untuk meleraikan satu tunjuk perasaan di situ.
Sebahagian besar daripada mereka mati kerana kesesakan nafas atau kerana dihempap selepas dimasukkan beramai-ramai selama berjam-jam dalam trak tentera.
Malaysia yang bersempadan dengan Thailand, telah meletakkan pasukan keselamatannya dalam keadaan berjaga-jaga dan memberi amaran kepada rakyat negara ini supaya tidak melawat selatan Thai yang merupakan destinasi populuar pelancong dan untuk membelibelah.
- AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.