Lima wakil rakyat Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang dibatalkan pendaftarannya baru-baru ini mengambil keputusan untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Bekas Setiausaha Agung PBDS, Stanley Ajang, yang juga Adun Belaga, berkata mereka sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai hasrat mereka untuk menyertai PBB setelah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Jumaat lalu.
Wakil rakyat lain yang dikaitkan dengan kem bekas Presiden PBDS, Datuk Daniel Tajem ialah Timbalan Menteri Luar Joseph Salang (Ahli Parlimen Julau ), Jewah Gerang (Lubok Antu), Aaron Dagang (Kanowit) and Adun Ngemah Gabriel Adit.
Kumpulan itu sebelum ini menemui pemimpin PBB termasuk Timbalan Presiden Datuk Alfred Jabu, Naib Presiden Kanan Datuk Adenan Satem, Ahli Majlis Tertinggi PBB Awang Asfia Awang Nassar, Bendahari Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Agung Ambrose Blikau untuk menyatakan hasrat mereka untuk menyertai PBB..
Permohonan
Dalam kenyataannya, Ajang berkata, Perdana Menteri setuju untuk berbincang dengan Ketua Menteri selaku Presiden PBB berikutan permintaannya untuk melobi menyertai PBB.
Difahamkan mereka akan menghantar borang permohonan tidak lama lagi.
PBB menguasai 30 daripada 62 kerusi negeri dan jika bekas kumpulan PBDS itu diterima menyertai PBB, ia akan meningkatkan majoriti parti itu di Dewan Undangan Negeri.
Ajang bagaimanapun, tidak memberi sebarang sebab mengapa mereka memilih untuk menyertai PBB.
Sumber yang rapat dengan kumpulan itu, memberitahu malaysiakini sejak mereka tidak berminat menubuhkan parti baru atau menghidupkan semula PBDS dan tidak berminat menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS), mereka percaya ia merupakan langkah terbaik untuk meneruskan kestabilan politik.
Sumber itu menambah sebahagian besar penyokong akar umbi juga mahukan mereka menyertai PBB.
1.
