PAS Kelantan dan seterunya Umno bukan sahaja mencari pengaruh di pentas politik tetapi juga melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dengan alasan untuk memberi bantuan kepada rakyat miskin.
Kedua-dua parti orang Melayu itu nampaknya saling berlumba untuk menubuhkan seberapa banyak NGO yang mereka dakwa bebas daripada pengaruh dan campurtangan politik tetapi penaungnya ialah pemimpin politik juga.
Suasana ini seolah-olah menunjukkan bahawa pemimpin PAS dan Umno mahu menunjuk kuat melalui NGO pula.
Sekurang-kurangnya wujud lima tabung dan yayasan di Kelantan yang ditubuhkan oleh PAS dan Umno Kelantan dengan alasan membantu rakyat tanpa mengira pegangan politik yang memerlukan bantuan.
PAS menubuhkan Tabung Serambi Mekah, Tabung Kenali dan terbaru Dana Kebajikan Islam Kelantan manakala Umno mewujudkan Tabung Pembangunan Kelantan dan Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK).
Tabung Serambi Mekah diwujudkan sebaik PAS berkuasa di Kelantan selepas pilihanraya umum 1990 bagi mengutip derma dan sumbangan orang dan korporat dari Kelantan dan seluruh negara bagi pembiayaan pentadbiran dan pembangunan negeri tersebut.
Pembayaran pampasan
Tabung Tok Kenali pula diwujudkan oleh PAS Kelantan bagi mengawalselia wang pembayaran pampasan Kerajaan Pusat dari pembinaan Empangan Pergau di daerah Jeli yang dianggarkan berjumlah RM400 juta.
Dana Kebajikan Rakyat Kelantan (Dakik) yang baru ditubuhkan oleh PAS pula menganggarkan mendapat pungutan dalam lingkungan RM1 juta pada tahun pertama iaitu tahun depan dan berharap mencapai RM5 juta dalam tempoh lima tahun.
Umno Kelantan pula menubuhkan YKK dan Tabung Pembangunan Rakyat Kelantan yang dipelopori oleh Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang baru, Datuk Annuar Musa dan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Mohamad.
YKK ditubuhkan ketika Annuar menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar pada tahun 1993 yang pada mulanya mahu membantu kemiskinan di kawasan parlimennya iaitu Peringat. Bagaimanapun kini ia telah diperluaskan ke seluruh Kelantan.
Mustapha menubuhkan Tabung Pembangunan Rakyat Kelantan pada 2003 sewaktu menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang mana sebahagian peruntukan persekutuan untuk pembiayaan pembangunan projek persekutuan di Kelantan disalurkan melalui tabung itu.
Exco Kerajaan negeri, Hassan Mahmood pula menafikan penubuhan NGO itu mempunyai tujuan politik, tetapi sebaliknya berkata, ia hanya untuk membantu rakyat dan kerajaan Kelantan secara keseluruhannya.
Pembangunan Kelantan
"Semua orang tahu, Kerajaan PAS Kelantan kurang sumber kewangan. Jadi dengan adanya tabung sedemikian, kita boleh membantu meningkatkan pembangunan negeri," katanya ketika dihubungi oleh malaysiakini.
Beliau menegaskan kerajaan negeri pimpinan PAS tidak mempunyai agenda politik di sebalik penubuhan tabung tetapi hanyalah untuk menguruskan kewangan dan membantu pembangunan Kelantan.
"Kita akan memberi bantuan kepada mana-mana rakyat Kelantan yang betul-betul susah tanpa mengira sama ada mereka penyokong PAS atau Umno," katanya lagi.
Annuar pula berkata, YKK yang ditubuhkan semasa beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Ahli Parlimen Peringat masih lagi beroperasi untuk memberi bantuan kepada rakyat yang memerlukan terutama orang miskin.
Katanya, YKK bukan platform politik seperti dakwaan sesetengah pihak tetapi lebih kepada saluran untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat terutama kepada yang dipinggirkan oleh Kerajaan PAS.
"Kita sedia maklum bukan sedikit orang miskin di Kelantan yang tidak dibela oleh kerajaan negeri semata-mata mereka bukan penyokong PAS dan golongan inilah yang menjadi keutamaan YKK," katanya.
