ADUN Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengecam hasrat Pengerusi Gabungan NGO Melayu Datuk Jamal Md Yunos untuk mengadakan protes di kawasan dengan menganggap sebagai taktik mengalih isu sebenar.
Bercakap dalam sidang medianya di Petaling Jaya, presiden PKR itu berkata ia bukan sahaja tidak menyelesaikan apa-apa masalah, malah ia juga tidak menjelaskan isu yang memberi kesan kepada negara.
"Ia tidak menyelesaikan sebarang masalah kepada mereka jika berhimpun di sana. Saya rasa ia taktik mengalih perhatian daripada masalah sebenarnya.
"Bercakaplah tentang jerebu, mengenai 1MDB, tentang ekonomi kita dan kejatuhan nilai ringgit, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik dan mengapa perdana menteri kita mendapat publisiti negatif (sebaliknya)," kata beliau.
Diatanya sama ada Jamal sepatutnya mengadakan perhimpunan di Pekan, kawasan yang diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Azizah menjawab, "ada jerebu".
Dilaporkan Jamal bercadang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan "berskala besar" di Kajang kerana Dr Wan Azizah Wan Ismail didakwa tidak memenuhi janji pilihan raya kecil dua tahun lalu selepas dipilih menjadi wakil rakyat.
Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar mendakwa pengundi di kawasan itu merungut antara lain berkaitan masalah banjir, kesesakan lalu lintas, dan kelemahan kutipan sampah.
