Umat Islam demo bantah Zionis di kedutaan AS
Umat Islam hari ini berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika bagi membantah pencerobohan rejim Zionis ke atas Masjidil Aqsa.
Bantahan tersebut dibuat berikutan tindakan Israel menyerbu masjid itu sehingga menyebabkan pertempuran terbaharu antara polis Israel dan penduduk Palestin baru-baru ini.
Demontrasi yang dihadiri 45 NGO Islam ini bermula sekitar jam 2.30 petang.
Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid ketika berucap mengecam tindakan rejim itu yang tidak menghormati Al-Aqsa sebagai salah satu masjid paling suci bagi penganut Islam.
Oleh itu, Azmi menuntut Duta Besar Amerika Syarikat Joseph Y Yun berhenti memberi alasan sebaliknya menunjukkan memorandum bantahan mereka kepada presidennya Barack Obama.
"Kita tuntut supaya Joseph Y Yun berhenti memberi alasan.
"Memo ini ditujukan kepada Barack Obama dan beliau mesti bertindak kerana presiden Amerika itu mempunyai pengaruh yang kuat terhadap Israel," katanya sambil disambut laungan takbir.
Kata Azmi, Obama juga perlu memastikan tentera Israel keluar dari Baitul Maqdis.
"Obama mesti mematikan kuasa Israel dan perlu keluar dari Baitul Maqdis.
"Dan segala kerosakan perlu dibayar kembali kepada pentadbiran Palestin.
Faks memo ke Washington
Malah, menurut Azmi pihaknya tidak akan berhenti setakat ini sahaja sebaliknya akan menyerahkan memorandum itu terus kepada Washington melalui faks.
"Kita telah nyatakan bahawa, kita tidak akan berhenti sekadar menyampaikan memorandum, kita akan faks memo ini kepada Washington agar mesej itu sampai kepada Obama.
"Ya, kita akan hantar petang ini juga ke Washington," tegas Azmi.
Terdahulu Azmi menyerahkan memorandum bantahan itu kepada pegawai keselamatan di Kedutaan Besar Amerika Syarikat, Kuala Lumpur.
Penyerahan memorandum itu dibuat mewakili seluruh umat Islam dan parti politik di negara ini.
Demontrasi yang bermula seawal jam 2.30 petang itu berakhir sejam sebaik saja memorandum bantahan dapat diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab.
Pada himpunan petang ini juga peserta turut membawa sepanduk tertulis "Wajib pertahan bumi Palestin walau mati syahid", " Bebaskan Masjidil Al-Aqsa", "Bebaskan Palestin" dan "Islam bukan pengganas".
Kira-kira 500 orang berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika bagi membantah pencerobohan rejim Zionis ke atas Masjidil...
Posted by Malaysiakini (BM Version) on Friday, 2 October 2015
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.