Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malaysia menerima kedatangan 6.48 juta pelancong untuk suku pertama tahun ini (Jan-Mac), kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Anggota Parlimen Masjid Tanah itu berkata daripada jumlah itu Malaysia menerima kedatangan pelancong terbanyak dari Singapura iaitu 3.24 juta diikuti Indonesia (671,211) dan China (379,265) manakala selebihnya dari negara lain.

"Bagaimanapun angka ini dilihat ada sedikit penurunan berbanding 7.91 juta pelancong yang kita terima pada suku pertama tahun lepas.

"Kita ada strategi dan perancangan tersendiri untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke negara kita menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan cermin mata kepada golongan kurang berkemampuan peringkat Parlimen Masjid Tanah di Alor Gajah.

Malaysia menyasarkan kedatangan keseluruhan 29.4 juta pelancong tahun ini dengan program 'Malaysia Year of Festivals' 2015, kesinambungan kepada Tahun Melawat Malaysia tahun lepas.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata lebih 2.4 juta orang telah mengunjungi Pavilion Malaysia pada Ekspo Milano 2015 yang menyediakan pelbagai keunikan makanan tempatan dan persembahan kebudayaan dan keseniaan daripada kementerian tersebut.

Beliau berkata makanan Malaysia juga tersenarai antara tiga makanan terbaik selepas Itali dan Colombia di ekspo disertai 147 negara yang dibuka sejak Mei lepas dan berakhir 30 Okt ini.

"Pada expo itu juga Malaysia juga menjadi antara negara utama yang ingin dilawati, ini merupakan satu petunjuk yang baik bagi Malaysia. Bagi kementerian kita akan terus komited untuk memastikan lebih ramai pelancong datang ke Malaysia.

"Antara usaha kita adalah akan adakan lebih banyak hubungan dengan peserta industri dan adakan lebih banyak lagi promosi bukan sahaja dari peserta industri, malah kita turut menggalakkan pelancong domestik untuk sama-sama mempromosikan Malaysia," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS