Lokman Adam: Saya tidak akan jilat semula ludah sendiri
Seorang lagi bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil keputusan tidak akan kembali ke pangkuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah dibebaskan dari hukuman penjara.
Seorang lagi bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil keputusan tidak akan kembali ke pangkuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah dibebaskan dari hukuman penjara.
Bekas Setiausaha Pemuda Keadilan, Lokman Noor Adam, yang sebelum ini bermati-matian berjuang untuk membebaskan Anwar, nampaknya mengambil pendirian yang lebih keras berbanding rakan-rakannya yang lain.
"Masakan masuk PKR, berjumpa Anwar pun saya tidak mahu," katanya kepada malaysiakini hari ini.
Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semata-mata berjuang untuk membebaskan Anwar yang dipenjarakan setelah dipecat dari Umno dan kerajaan pada September 1998.
Sebelum ini, dua bekas orang kuat Anwar bekas Ketua Penerangan Keadilan, Ruslan Kassim dan bekas Naib Ketua Pemuda Keadilan, Zahid Md Arip juga menyatakan mereka tidak akan kembali menyertai semula Keadilan meskipun Anwar sudah dibebaskan baru-baru ini.
Menurut mereka, Anwar dan Keadilan sudah tidak diterima oleh rakyat dan `gelombang pilihanraya 1999' sudah tidak berlaku lagi.
Roslan dan Zahir meninggalkan Keadilan untuk menyertai Umno tidak lama sebelum pilihanraya umum 2004, manakala Lokman dipecat dari Keadilan kerana didakwa menjadi dalang untuk membawa beberapa pemimpin utama Keadilan, terutama sayap pemuda menyertai Umno.
Membongkar skandal
Selepas dipecat, Lokman membongkar satu demi satu skandal yang berlaku di dalam Keadilan, yang antaranya dikatakan membabitkan Ketua Penerangan Khalid Jaafar dan Ketua Pemuda Ezam Mohd Noor, yang didakwa memainkan peranan utama dalam pemecatannya.
Ramai yang beranggapan beliau menyertai Umno seperti Roslan dan Zahid tetapi sehingga hari ini beliau tidak berbuat demkian walaupun mengakui berhasrat berbuat demikian tetapi menurutnya bukannya sekarang.
"Memang ada cadangan nak masuk Umno tetapi buat masa ini saya mahu berhenti seketika daripada aktif dalam berpolitik kerana ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan saya," katanya.
Bagaimanapun, beliau menerima desakan daripada beberapa ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Keadilan yang memujukkan supaya kembali semula ke pangkuan Keadilan tetapi beliau menolak.
"Buat apa dan untuk apa saya masuk Keadilan lagi? Saya dipecat dengan maruah saya dihina dan diludah. Saya tidak akan menjilat semula ludah saya," katanya lagi.
Namun, beliau berkata, hubungannya dengan sebahagian besar ahli Keadilan termasuk di kalangan MPT adalah baik dengan masing-masing sering bertanyakan khabar berita.
Hak rakyat
Cuma, kata Lokman, ada beberapa kerat pemimpin atasan Keadilan yang bermasalah dengannya tetapi beliau enggan menyebut nama mereka yang dimaksudkannya itu.
Lokman juga berpendapat, Keadilan tidak akan bertahan lama dalam politik negara meskipun dengan pembebasan Anwar kerana orang sudah tidak percaya kepada parti itu lagi.
Katanya, terlalu banyak kepincangan yang berlaku dalam Keadilan yang mungkin tidak diketahui rakyat tetapi amat maklum kepada bekas ahlinya.
"Sebab itu apabila ahli Keadilan mahukan saya kembali semula ke dalam parti itu, saya menegaskan tidak sama sekali kerana hati saya sudah tidak bersamanya lagi," katanya.
Lokman juga menegaskan Kedilan sudah tidak dapat memperjuangkan hak-hak rakyat kerana perjuangan itu telah dilakukan dengan baik sekali oleh pihak pemerintah.

