Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Saya merujuk kepada kenyataan bersama yang dibacakan oleh wakil perdagangan AS, Michael B Froman yang juga penasihat utama, perunding dan jurucakap kepada Barack Obama mengenai isu-isu perdangangan dan pelaburan.

Kenyataannya itu pada lewat petang semalam amat mengejutkan rakyat Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed beberapa hari sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada apa-apa keputusan besar akan terhasil daripada rundingan yang diadakan di Atlanta selama beberapa hari itu.

Tiba-tiba, pada petang semalam, kesemua menteri perdagangan dan para perunding daripada 12 negara yang terlibat mengumumkan telah mencapai kata sepakat dan bersetuju dengan terma perjanjian tersebut.

MITI melalui menterinya dalam kenyataan pada lewat malam tadi sekali lagi menegaskan bahawa penyertaan Malaysia di dalam TPP hanya akan diputuskan setelah dibahas dan diluluskan oleh Parlimen.

Namun perbahasan itu bukanlah suatu yang mudah kerana rundingan ini telah pun berlangsung secara sulit sejak lima tahun lalu.

Sidang Parlimen akan datang pula bakal menjelma tidak lama lagi dan tempohnya amat singkat untuk tujuan tersebut.

Saya tidaklah menafikan keperluan untuk perkara ini dibawa ke Parlimen bahkan saya juga telah mendesaknya beberapa kali sebelum daripada ini.

Saya menuntut semua ahli parlimen khususnya daripada BN yang mewakili kerajaan agar bersikap telus dan tulus dalam membahaskan isu ini nanti. Ia adalah teramat penting kerana melibatkan kedaulatan dan kesan jangka masa panjang terhadap negara dan rakyat Malaysia.

Saya percaya bahawa kita semua tidak mahu TPPA ini akhirnya menyebabkan berlaku penjajahan ekonomi oleh para kapitalis dunia terhadap Malaysia.

Penjajahan ini akan menyebabkan rakyat hanya boleh melihat kemakmuran ekonomi negara sedangkan kek ekonomi itu sendiri diratah oleh gergasi ekonomi dunia.


DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ahli majlis syura ulama PAS dan MP Kuala Nerus. Beliau turut menulis di blog drtakiri.blogspot.com dan Facebook .

Lihat Komen
ADS