Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP DAP: Adakah MCA akan biar Ling sendirian?
Diterbitkan:  Oct 7, 2015 12:40 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Susulan surat tuntutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Tun Dr Ling Liong Sik, MCA telah menjarakkan diri dengan menyatakan kenyataan bekas presidennya tidak ada kena mengena dengan parti itu.

Sebaliknya, MP DAP Segambut Lim Lip Eng ingin mengetahui sama ada MCA akan memutuskan hubungan dengan bekas presiden mereka atau cuba membantu beliau dengan mendesak Najib menjelaskan siapa dan motif sumbangan RM2.6 bilion.

"Akar umbi patut minta supaya MCA mengadakan mesyuarat tergempar bagi membolehkan akar umbi memutuskan sama ada parti akan membiarkan Tun Dr Ling berhadapan sendiri dengan saman Najib Razak ini.

"Atau parti akan menyokong bekas presidennya itu demi menemukan kebenaran di sebalik skandal RM2.6 bilion dan skandal 1MDB," kata anggota parlimen itu dalam satu kenyataan hari ini.

Lim yang juga seorang peguam bertanya sama ada MCA dan parti komponen BN lain akan mendesak Najib Razak untuk mendedahkan butir di sebalik skandal RM2.6 bilion.

Bagaimanapun, Lim menjangkakan MCA akan memihak kepada Najib dan terus mendiamkan mengenai skandal kewangan itu serta terus diingati sebagai parti yang tidak relevan dan pengecut.

Najib menuntut Ling menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah mengenai perdana menteri baru-baru ini melalui satu surat tuntutan itu

Surat tuntutan itu menuntut penarikan balik, permohonan maaf serta ganti rugi berikutan artikel di dalam The Malay Mail Online bertajuk 'MCA's Liong Sik joins call for Najib's ouster for allegedly putting people's money in his own pocket' yang disiarkan pada 3 Oktober.

Lihat Komen
ADS