Tok Pa lepas jawatan Ketua Pembangkang di DUN Kelantan?
Selepas dilantik menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamad sebagai Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa dijangka turut mengambil alih tugas Ketua Pembangkang apabila Dewan Undangan Negeri Kelantan bersidang awal Disember ini.
Selepas dilantik menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamad sebagai Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa dijangka turut mengambil alih tugas Ketua Pembangkang apabila Dewan Undangan Negeri Kelantan bersidang awal Disember ini.
Desas-desus mengenainya bertiup kencang di Kelantan dan mula diperkatakan oleh kalangan kepimpinan Umno dan PAS negeri itu.
Kerajaan PAS Kelantan akan membentangkan Belanjawan 2005 dalam persidangan tersebut yang dijadual berlangsung mulai 5 hingga 9 Disember ini dan akan dirasmikan oleh Sultan Kelantan.
Beberapa pindaan rang undang-undang akan dibentangkan, antaranya Pindaan Rang Undang-undang Perlombongan dan Perbekalan Tambahan.
Selepas pilihanraya umum lalu, Mustapa telah dipilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri itu kerana beliau juga kebetulan merupakan Ketua Perhubungan Umno Kelantan.
Bagaimanapun, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan rombakan semula dengan melantik Annuar untuk menggantikan Mustapa bagi memimpin Umno negeri itu.
Manakala Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Awang Adek Husin dilantik sebagai timbalan Annuar, menggantikan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.
Rombakan baru
Sebelum ini Dr Awang Adek yang juga Ahli Parlimen Bachok, memegang jawatan bendahari Umno Kelantan. Annuar dan Dr Awang Adek terpilih sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti itu bulan lalu.
Pada 5 November lalu, Annuar mengumumkan rombakan baru kepimpinan Umno Kelantan termasuk menubuhkan Majlis Kemajuan Kelantan, 10 jawatankuasa dan tiga sekretariat.
Rombakan itu membabitkan perlantikan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dabong, , Datuk Ramzi Abd. Rahman sebagai Setiausaha Perhubungan.
Beliau menggantikan Mat Nawawi Mat Jusuh yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Sekretariat Pemantapan Khidmat Rakyat/Hal Ehwal Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jawatan Ketua Penerangan kekal disandang oleh Ahli Parlimen Ketereh, Alwi Che Mat manakala Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar dilantik sebagai bendahari.
Manakala Tok Pa yang juga Ahli Parlimen Jeli yang juga Adun Air Lanas serta Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut dilantik sebagai penasihat Majlis Kemajuan Kelantan. Zaid pula dilantik mengetuai Jawatankuasa Pengaduan Awam dan Undang-Undang.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka tidak hadir di majlis tersebut kerana dikatakan sedang berada di luar negara.

