Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Undi tak percaya, PKR yakin Wan Azizah ada formulanya

Tidak timbul isu untuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan perbincangan bagi mendapatkan sokongan PAS berhubung undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ini kerana, menurut Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, semua pihak sedia maklum perkara itu sama ada perbincangan mengenainya dibuat secara formal atau tidak.

“Perkara itu tidak ada isu. Secara umumnya MP sudah pun mengetahui berdasarkan laporan media, hebahan di media sosial dan sebagainya terdapat cadangan untuk membuat usul undi tak percaya dan sudah tentulah perkara ini dibincangkan sama ada formal atau tidak formal,’ kata anggota Parlimen Bukit Katil itu kepada Malaysiakini.

Shamsul berkata berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan PAS untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai usul undi tidak percaya kepada perdana menteri.

PAS melalui setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan semalam dilaporkan berkata parti Islam itu hanya akan menyokong undi tidak percaya terhadap perdana menteri jika ketua pembangkang mengadakan perbincangan mengenai usul tersebut.

Bagaimanapun, menurut Takiyuddin yang juga ketua whip PAS, parti itu terbuka untuk berbincang mengenainya tetapi biarlah ia dilakukan secara teperinci.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata sudah pasti anggota Parlimen daripada blok pembangkang akan dipanggil untuk membincangkan perkara tersebut secara terperinci kelak.

“Kalau satu proses itu mahu dilakukan melalui Parlimen, sudah pasti pembangkang akan memanggil semua anggota Parlimen daripada blok pembangkang untuk membincangkan perkara ini.

“Paling tidak pun mungkin wakil-wakil parti daripada PAS, Amanah dan DAP akan membincangkan perkara ini secara teliti,” kata Shamsul.

Shamsul juga yakin Wan Azizah yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh ada formula tersendiri bagi tujuan tersebut kerana pakatan pembangkang sudah mempunyai calon yang layak bagi menggantikan Najib.

“Secara terperincinya sudah pasti parti akan membincangkan semua perkara, semua senario, pasca usaha itu berjaya atau tidak akan dibincangkan secara teliti.

“Saya yakin ketua pembangkang ada formula untuk tujuan itu. Setiap kali ketua pembangkang memanggil mesyuarat, sudah tentulah ada agenda yang menjurus kepada isu-isu berbangkit mengenai undi tidak percaya atau pun selepas undi tidak percaya.

“Selepas kita buat usul itu (undi tak percaya) barulah kita kemukakan siapa, kita ada ramai pilihan,” tambah Shamsul.

PKR dilaporkan sebagai berkata Wan Azizah, yang juga presiden parti itu, akan membentangkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri dalam sesi Parlimen yang akan datang Parlimen yang bermula pada 19 Oktober

DAP telah mengumumkan bahawa ia akan menyokong usul itu.

Dengan hanya 88 daripada 222 MP di Dewan Rakyat, pembangkang tidak mempunyai majoriti untuk mendesak sebarang undi tidak percaya terhadap Najib.

Pakatan pembangkang baru, Pakatan Harapan, yang tidak termasuk PAS, mempunyai 72 Ahli Parlimen.

Sebelum itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu hanya akan mengalahkan Najib melalui kaedah yang "sihat".

Lihat Komen
ADS