Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sepasangan suami isteri dan seorang anak perempuan mereka maut apabila kenderaan yang dinaiki dihempap struktur papan tanda selepas dilanggar sebuah lori kontena di Km399.6 Lebuhraya PLUS arah utara, dekat Tanjung Malim awal pagi tadi.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 6.35 pagi itu adalah Dzulkarnain Kamaruzzaman, 64, isterinya Jamnah Ibrahim, 56, dan anak perempuan mereka, Nur Juliana, 17.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R Supramaniam berkata kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori kontena yang menuju arah utara itu dilanggar dari belakang oleh sebuah lori lain menyebabkan lori kontena berkenaan terbabas dan melanggar tiang papan tanda di pembahagi jalan.

"Pelanggaran itu menyebabkan papan tanda itu tumbang dan menghempap kereta Mercedes dinaiki mangsa yang menuju arah selatan. Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Jenazah tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat.

Ekoran kemalangan itu, aliran trafik sesak sejauh dua kilometer di kedua-dua arah.

Pemandu jalan raya dinasihatkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya mengambil laluan alternatif dengan arah selatan keluar di Behrang dan masuk semula di Tanjung Malim manakala arah utara, keluar di Tanjung Malim dan masuk ke Behrang, bagi mengelak kesesakan.

Supramaniam berkata pemandu dan kelindan lori kontena itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

"Pemandu lori akan ditahan untuk ujian saringan air kencing sekali gus membantu siasatan kes.

"Saya memohon orang ramai yang melihat kejadian tampil ke hadapan memberi kerjasama kepada pihak polis untuk membantu siasatan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS