Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Sarawak Report tuduh Arul 'penipu'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sarawak Report hari ini mendedahkan beberapa dokumen membuktikan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Syarikat 1MDB Arul Kanda Kandasamy seorang "pembohong".

Pendedahan tersebut dibuat ekoran dakwaan mengejutkan yang mengesahkan tiada wang tunai tersimpan di Bank BSI di Singapura.

Sarawak Report mendakwa berdasarkan laporan mesyuarat lembaga 1MDB kenyataan Arul terbukti bukan "salah faham", tetapi sebahagian daripada "strateginya memberikan maklumat salah".

"Dalam erti kata lain, ia adalah satu pembohongan yang memalukan," kata pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown ( gambar ) dalam e-mel kepada Malaysiakini .

Sarawak Report melaporkan pada April lalu, 1MDB mengeluarkan penyata bank palsu mengenai akaun anak syarikatnya, Brazen Sky Ltd, di Bank BSI Singapura.

Memetik maklumat yang diterima, laman web itu berkata bank berkenaan memberitahu Penguasa Kewangan Singapura (MAS), dokumen tersebut bukan datang daripada mereka.

Lihat jawapan bertulis

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga dituduh berbohong oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pelaburan yang ditebus, yang didakwa dalam bentuk wang tunai berjumlah AS$1.103 bilion (RM4.08 bilion) pada Mac.

Najib, yang juga menteri kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen DAP Tony Pua.

Arul ketika diwawancara Business Times Singapura pada Februari lalu mengakui wang tunai itu berada dalam akaun firma berkenaan di Bank BSI.

Tetapi Najib dalam satu lagi jawapan bertulis Parlimen "mengubah" jawapannya sebelum ini, mengatakan pelaburan yang ditebus 1MDB itu berupa aset dalam bentuk dolar AS bagi tujuan mengimbangi liabilitinya yang juga dalam dolar AS.

"Kami kini telah mendapat beberapa minit dari mesyuarat lembaga.

"Arul juga memberi alasan yang amat sukar dipercayai tentang jumlah pinjaman 1MDB.

"Ini adalah respons kepada kebimbangan pengerusinya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, bahawa pihak pengurusan secara terbuka berjanji untuk menghantar pulang wang itu dan kemudian gagal untuk berbuat demikian," kata Sarawak Report lagi.

Menurut laman web berkenaan, Arul memberi alasan tidak menghantar pulang wang tunai itu kerana ia perlu disimpan di bank Singapura sebagai jaminan kepada Deutsche Bank.

Sementara itu Pengerusi 1MDB itu mengeluarkan kenyataannya menjawab laporan berkenaan petang ini.

[Baca berita asal]