'Displin, kejujuran berpakat elak dilaga-laga musuh'
Anggota parti komponen Pakatan Harapan perlu menekan sikap displin dan kejujuran untuk mengelak dilaga-lagakan oleh lawan seperti yang berjaya dilakukan terhadap Pakatan Rakyat, kata Parti Amanah Negara.
Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad juga berkata parti dalam Pakatan Harapan perlu komited kepada gabungan baru pembangkang itu dan mengetahui dengan jelas siapa kawan dan lawan mereka.
"AMANAH mengalu-alukan pendirian PKR untuk memantapkan Pakatan Harapan dan bersetuju untuk membuka keahlian Pakatan Harapan kepada semua yang berminat untuk menyertainya.
"Namun disiplin dan kejujuran dalam berpakat perlu ditekankan supaya pihak lawan tidak akan berjaya melaga-lagakan anggota Pakatan Harapan sepertimana mereka telah berjaya terhadap Pakatan Rakyat.
"Setiap anggota Pakatan Harapan hendaklah kommitted kepada Pakatan Harapan dan jelas berhubung siapa kawan dan siapa lawan," kata Khalid.
Bagi tujuan itu, Khalid mengesyorkan supaya sekretariat dan Majlis Presiden Pakatan Harapan segera dibentuk supaya dasar bersama dan kaedah pengurusan perbezaan pandangan dapat ditetapkan untuk dipersetujui dan didukungi bersama.
"Amalan bermusyawarah demi mencapai kata sepakat dalam menangani semua persoalan tetap merupakan dasar yang perlu diamalkan," kata Khalid yang juga MP Shah Alam.
Beliau mengulas pendirian PKR semalam antara lain menyeru semua parti pembangkang supaya menghentikan perbalahan dan menyerang antara satu sama lain malah menghormati perbezaaan pandangan serta tidak mencampuri urusan dalaman parti sahabat yang lain.
PKR berkata parti itu komited memantapkan pakatan pembangkang yang inklusif dan keanggotaannya akan diperbesar bahkan perbincangan dengan parti politik lain serta mendirikan kerjasama dua-hala di pelbagai peringkat akan diteruskan jika perlu.
Dalam kenyataannya hari ini, Khalid berkata AMANAH mahu pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh sebagai keutamaan ke arah penyelesaian krisis negara dan oleh itu kerajaan BN perlu digantikan.
"Oleh itu usaha ke arah menyatupadukan pembangkang tidak boleh dilengah-lengahkan.
"Rakyat ingin melihat satu gabungan pembangkang yang mampu berkerjasama dan sanggup mengenepikan perbezaan dalam usaha menyelesaikan krisis negara yang semakin meruncing," katanya.
Khalid turut memuji PKR yang mencapai kata sepakat daripada dakwaan parti itu diramal berpecah dua berhubung isu tersebut dan membuktikan kematangan PKR menguruskan perbezaan pandangan.

