Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengekalkan 51,000 pekerjanya di lebih 75 negara di seluruh dunia meskipun harga minyak yang tidak menentu.
"Setakat ini, tiada pembuangan kerja dan kami masih mencatatkan prestasi baik meskipun penurunan harga minyak," kata Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Liz Kamaruddin.
Bagaimanapun, bajet pengiklanan dikurangkan lebih 50 peratus tahun ini berbanding tahun lalu berikutan kejatuhan harga minyak, katanya kepada pemberita di luar persidangan Sustainable Brands Kuala Lumpur, hari ini.
"Jika sesebuah organisasi boleh bertahan daripada kemelesetan atau pengurangan bajet, jadi dari situ anda boleh lihat ke mana jenama anda bergerak.
"Jika ia masih bertahan, anda sudah tentunya telah menjalankan tanggungjawab anda dan jenama anda telahpun mampan," katanya.
Persidangan dua hari yang bertemakan "How Now" itu, yang bermula hari ini bakal memperlihatkan bagaimana jenama boleh memanfaatkan inovasi baharu untuk meningkatkan kemampanan ke tahap seterusnya bagi mempercepatkan kejayaan perniagaan.
Ketua-ketua pemikir global akan berkongsi perspektif dalam membangunkan dengan jayanya inovasi jenama yang bersandarkan kemampanan pada persidangan utama dunia itu yang diadakan di Malaysia buat pertama kalinya.
Liz berkata organisasi perlu kreatif dalam menyuarakan pandangan mereka kerana ia adalah industri yang sangat kompetitif.
"Dari segi pengiklanan, jika kita mahu melibatkan golongan lebih muda, kita perlu sentiasa optimistik," katanya.
