Teresa: Jangan beri permit kerja kepada pelajar asing
Tindakan kerajaan untuk memberikan permit kerja kepada pelajar asing di negara ini akan menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat, termasuk lambakan 'pelajar palsu'.
Tindakan kerajaan untuk memberikan permit kerja kepada pelajar asing di negara ini akan menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat, termasuk lambakan 'pelajar palsu'.
Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok berkata, langkah itu, secara tidak langsung, boleh mendorong pelajar asing menyalahgunakan visa mereka dan menambahkan jumlah pekerja asing di negara ini.
"Kerajaan sedang giat menghantar pulang pekerja asing untuk mengurangkan masalah sosial dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
"Tetapi kerajaan juga mahu memberikan visa kepada pelajar untuk bekerja, berlawanan dengan langkah mengurangkan pekerja asing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa ini, tambahnya, ramai rakyat China yang membina setor secara haram di bandar dan pekan, atau menjual barangan secara langsung di restoran yang kebanyakannya memegang visa pelajar atau visa pelancong.
"Banyak juga pemegang kad pelajar ini bekerja di restoran dan pusat-pusat hiburan," tambahnya.
Teresa juga tidak dapat melihat bagaimana pemberian visa kerja kepada pelajar asing itu dapat menyelesaikan kekurangan tenaga kerja di negara ini.
Sebaliknya, kata beliau, adalah lebih jika kerajaan membenarkan warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan, untuk bekerja di Malaysia.
Pada masa ini, katanya, ramai isteri atau suami kepada rakyat Malaysia yang berpendidikan tinggi terpaksa tinggal di rumah kerana tidak mendapat permit pekerjaan.
Malah, katanya, wanita tempatan yang bersuamikan rakyat asing berdepan dengan dilema penghijrahan ke negara lain kerana pasangan mereka tidak mendapat status pemastautin tetap di Malaysia.
"Mengambil kira fakta ini, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian yang logik seperti membenarkan pasangan kepada rakyat tempatan bekerja di Malaysia.
"Selain itu kerajaan perlu membenarkan pekerja asing dari Aceh dan Burma yang tidak dikehendaki oleh negara mereka atas sebab-sebab politik, dibenarkan bekerja di Malaysia atas faktor kemanusiaan. Dan ini dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja di negara ini," kata Teresa lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.