Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mustafa: Waktu ini PAS hanya kerjasama dengan PKR

PAS tidak mempunyai rancangan segera untuk mengadakan kerjasama politik dengan Umno atau Pakatan Harapan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata ketika ini kerjasama politik mereka hanya dengan bekas rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat, PKR.

" (Pada) waktu ini, dari sudut politik, hanya dengan PKR," kata bekas setiausaha agung PAS itu

"Dengan Pakatan Harapan (kita) tidak bersama, Umno pun tidak bersama," tegasnya lagi.

Beliau menjawab soalan pemberita sama ada parti Islam itu akan bekerjasama dengan Umno selepas secara rasmi mengadakan kerjasama dengan NGO Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Mustafa berkata sejak hubungan keruh Umno - PAS pada 1977, PAS hanya bekerjasama melalui pentas bukan politik dengan parti dominan dalam gabungan parti pemerintah.

"Kita tidak ada kerjasama politik (dengan Umno) tapi (kita) tak ada masalah bekerjasama seperti isu krisis Palestin atau isu nuklear. Kita bekerjasama dengan kerajaan mengenai isu melibatkan kepentingan bersama," katanya.

Sementara itu, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali - turut hadir dalam sidang media itu mencadangkan PAS mengambil langkah bekerjasama dengan Umno demi perpaduan Melayu.

"Perkasa minta PAS proaktif dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Umno.

"Sekalipun perbezaan ideologi dan politik tidak seharusnya memecahbelahkan Islam," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP.

Lihat Komen
ADS