IGP: Polis masih jalankan siasatan terhadap 1MDB

Anne Muhammad        

Pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap 1MDB, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid menjelaskan bahawa adalah tidak benar pihaknya telah menghentikan siasatan ke atas 1MDB.

Katanya, pihak polis sedang menunggu Ketua Audit Negara melengkapkan siasatan, yang dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi.

"Kalau kita tidak tunggu siasatan Ketua Audit Negara ini, siasatan kita tidak lengkap. Kita perlu kenal pasti kesalahan untuk kita jalankan siasatan," katanya sambil menambah bahawa pihaknya perlukan laporan Ketua Audit negara sebelum ia boleh menyelesai siasatan.

Beliau memberitahu pemberita demikian dalam satu majlis di ibunegara hari ini.

Ketika ditanya mengenai peratusan kemajuan siasatan, Khalid berkata: “Tak perlu kita sebut berapa kemajuannya. Ia bergantung kepada laporan pihak audit nanti.

“Kita telah melaksanakan siasatan yang kita buat tapi belum selesai kerana menunggu laporan daripada Ketua Audit Negara.

“Kalau kita tidak siasat sepenuhnya tidak selesailah siasatannya. Siasatan polis ini tidak berhenti sebenarnya. Kalau ada maklumat baru kita akan siasat,” katanya.

Sebelum ini berlaku kekeliruan berhubung status pasukan petugas khas yang membabitkan pihak polis, SPRM dan Bank Negara.

Namun peguam negara berkata siasatan yang buat oleh pasukan petugas khas masih dijalankan , dan setiap agensi berkenaan menyiasatkannya secara berasingan.

“Saya tidak mahu tambah masalah lagi... Kalau peguam negara kata wujud, maknanya wujudlah,” tambah Khalid.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In