Datuk Seri Anwar menjadi 'sasaran' para peguam yang mengemukakan pelbagai soalan yang menyentuh mengenai kewibawaannya sebagai seorang pemimpin politik dan komitmen peribadinya terhadap perubahan.

Dalam sesi dialog selama dua jam di Kuala Lumpur semalam yang dihadiri kira-kira 300 peguam, Anwar turut ditanya mengenai dasar reformasinya ketika masih di dalam kerajaan dan beberapa isu kontroversi seperti Operasi Lalang pada 1987 di mana beliau dilihat seperti turut menyokongnya, walaupun ia dibantah oleh rakyat.

"Saya tahu orang akan bertanya kepada saya mengapa saya tidak melakukan ini apabila berada di dalam kerajaan. Apa lagi yang boleh saya katakan? Saya sangka saya bijak, tetapi tidak, orang berkata saya ini naif," katanya dalam ucapan ringkasnya sebelum sesi dialog berkenaan.

Anwar menegaskan bahawa beliau memang komited untuk membawa pembaharuan ketika bersama kerajaan, dengan melakukannya dari dalam sistem (pemerintahan).

Katanya, beliau tidak mampu mengawal kesemua kegagalan kerajaan pada masa lalu walaupun dia cuba memperbetulkannya secepat mungkin, termasuk keputusannya untuk menyiasat kes penyelewengan dalam Perwaja pada 1996.

"Saya meminta supaya satu siasatan bebas dijalankan terhadap Perwaja di Parlimen selepas kita mempunyai butiran terperinci mengenai penyelewengan dan salah pengurusan yang membabitkan RM2 bilion, tetapi hanya pada 2004, baru Eric Chia didakwa," katanya.

Menurut Anwar, satu lagi contoh usahanya untuk membawa pembaharuan ialah dengan membentangkan Rang Undang-Undang Anti Rasuah.

Peruntukan adil

"Apabila saya membentangkan rang undang-undang itu, ia menimbul kemarahan di kalangan rakan sejawat saya dalam kerajaan. Peruntukan utamanya ialah anda masih boleh didakwa kerana amalan rasuah walaupun selepas lima hingga tahun berhenti berkhidmat dengan kerajaan.

"Saya berpendapat ini adalah satu peruntukan yang sangat adil. Saya tanya mereka mengapa mereka perlu risau jika mereka tidak bersalah," katanya berseloroh dan diikuti tepukan para hadirin.

Anwar juga ditanya mengapa beliau tidak berbuat apa-apa apabila bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dipecat pada 1988.

"Saya boleh mengatakan bahawa ia (pemecatan) itu juga telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakan sejawat saya dalam kerajaan.

"Saya bersetuju bahawa ianya menandakan bermulanya penghakisan keyakinan rakyat terhadap bidang kehakiman. Tetapi kita mesti terus melangkah. Saya tidak fikir ia sudah terlambat, kita mempunyai tugas untuk dilaksanakan," tegasnya.

Anwar juga ditanya mengapa tidak meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab terhadap salahlaku kerajaan sewaktu Operasi Lalang pada 1987, dan penggunaan Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) terhadap pengikut al-Arqam pada 1994.

"Saya tidak meletakkan jawatan kerana saya percaya bahawa ada ruang untuk perubahan dalam parti. Saya telah cuba untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) ketika menjadi Menteri Pendidikan, tetapi ianya tidak dipersetujui Kabinet," katanya.

Bantah projek Bakun, Operasi Lalang

Anwar juga mendakwa bahawa beliau telah dinasihatkan oleh rakan-rakannya supaya bersabar kerana sebarang perubahan memerlukan masa.

"Saya telah lakukan apa yang terdaya untuk membawa perubahan dan pembaharuan. Tetapi saya tidak berada dalam kedudukan untuk menentang mereka," katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga mendedahkan bahawa beliau menentang pelaksanaan projek Bakun di Sarawak "tetapi akhirnya, saya terpaksa memberitahu NGO bahawa apa yang dapat saya lakukan ialah memastikan ia mengakibatkan kerosakan minima kepada alam sekitar kerana (usaha) saya telah

ditolak oleh Parlimen."

Mengenai Operasi Lalang di mana lebih 100 pemimpin politik, ahli akademik, aktivis dan ahli kesatuan sekerja ditangkap, Anwar mendakwa, beliau telah berusaha merayu kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari berikutnya.

"Beliau memberitahu yang saya perlu faham soal keselamatan negara," katanya.

"Dua kali saya menjadi mangsa ISA. Ia amat memalukan, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Jadi anda jangan fikir orang yang sudah melalui pengalaman itu, tidak akan menentangnya (ISA)," tambahnya.

Perjuangan berterusan

Seorang peguam kemudian bangun dan memberitahu Anwar bahawa "rakyat akar umbi tidak mempercayai anda. Anda tidak pernah berkata yang anda tidak mahu menyertai semula kerajaan. Anda tidak pernah berkata yang anda memperjuangkan hak asasi manusia. Apa yang anda katakan hanyalah retorik politik."

Menjawab kenyataan tersebut, Anwar menegaskan beliau sentiasa konsisten dan tidak pernah membayangkan yang beliau mahu menyertai semula kerajaan.

"Saya memang khusus (dalam menentang) rasuah. Tetapi saya tidak mahu dilihat menentang (kehendak) akar umbi. Ramai ahli Umno yang tidak bersalah. Anda mahu mengecam mereka semua?" tanyanya sambil menambah bahawa beliau perlu diberi fleksibiliti dalam berinteraksi dengan rakyat.

"Saya mesti diberi peluang supaya tidak menentang parti, tetapi (mengenai) dasar-dasarnya, ianya adalah berbeza. Saya berpegang pada agenda reformasi. Bagaimanakah anda mahu saya memberi cadangan-cadangan mengenai politik, ekonomi dan pendidikan sedangkan saya baru dibebaskan dua bulan lalu?" katanya.

Ditanya sama ada bekas rakan-rakannya dalam kerajaan memahami pemerintahan undang-undang, Anwar berkata: "Saya percaya mereka memahaminya tetapi adalah sukar untuk mendengar suara-suara menentang dalam kerajaan, persoalannya ialah komitmen mereka."

Ditanya pendapatnya mengenai perbezaan antara perdana menteri sekarang dan yang sebelumnya, Anwar berkata: "Satu-satu perbezaannya ialah jika Mahathir masih berkuasa, saya masih merengkok dalam penjara."

Beliau bagaimanapun berkata tidak terdapat perbezaan asas di antara Mahathir dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana Pak Lah juga masih merupakan 'sebahagian daripda sistem yang ada".

"Abdullah masih teragak-agak untuk membuat perubahan. Tidak terdapat perbezaan asas antara mereka selepas tempoh setahun ini. Ianya lebih merupakan retorik daripada tindakan sebenarnya," tegasnya.