Ruang tapak pesta itu 'meriah' dengan pelbagai bau walaupun warna udaranya tetap satu - putih.
Masing-masing dengan keasyikan sendiri menyedut dan menghembus 'wap air' yang dienakkan dengan pelbagai perisa.
Sesetengah mereka mendakwa menjadi pengguna rokok elektronik atau vape itu sebagai alternatif kepada ketagihan merokok manakala yang lain menggunakan peranti berkenaan untuk menikmati 'keindahan rasanya'.
Disebabkan sambutan luar biasa kepada vape itu, Karnival Vapor Berniaga Sambil Beramal dianjurkan OMG Fest di Pusat Konvensyen Shah Alam diadakan selama dua hari bermula semalam dan hari ini.
Ia dibuka seawal jam 10 pagi dan berlanjutan hingga jam 10 malam.
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan penganjur sepanjang karnival berlangsung. Antaranya persembahan artis, cabutan bertuah selain pertandingan "cloud competition" dan "could skill".
Pemenang bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.
Penganjur juga turut menyediakan slot ceramah yang mengajak orang ramai berkongsi ilmu mengenai vape, terutama di kalangan mereka yang baru berjinak-jinak menggunakan alat berkenaan.
Slot ceramah itu dikendalikan pengasas Malaysian Organisation of Vape Entity (Move) iaitu sebuah pertubuhan berperanan mengumpul 50,000 tandatangan untuk memastikan selian produk elektronik itu diurus dengan baik.
Pengusaha anak muda
Jika diperhatikan rata-rata pengusaha vape ini terdiri dari kalangan anak muda dan kecenderungan ramai pihak menggunakan peranti itu sebenarnya membuka peluang kepada mereka menceburi perniagaan.
Rata-rata mereka yang ditemui Malaysiakini berkata pengambilan vape bermula dengan suka-suka sebelum akhirnya cenderung untuk mengusahakannya.
Ahmad Izzat Ahmad Tarmizi, 23, antara anak muda yang menceburkan diri dalam perusahaan vape apabila berkhidmat sebagai eksekutif pemasaran di Vapempire Malaysia sekitar 2013.
Menurut Izzat, vape amat sesuai kepada mereka yang ingin berubah daripada perokok kepada alternatif yang lebih baik dan sihat.
"Vape merupakan alternatif terbaik kepada perokok tegar setakat ini. Ada kes individu yang boleh berhenti merokok serta-merta," katanya.
Izzat juga berkata beliau sangat jimat apabila menggunakan vape berbanding rokok kotak sebelum ini.
"Biasanya perokok tegar hisap rokok satu kotak sehari, tapi dengan vape sebotol liquid kita boleh tahan empat hingga tujuh hari mengikut cara kita hisap," kata Izzat lagi.
Malah, menurut Izzat vape tidak berbahaya seperti mana yang diuar-uarkan sesetengah pihak.
"Vape tak bahaya kalau dibandingkan dengan rokok.
'Kurangkan ketagihan'
"Liquid vapor ini diperbuat dari minyak sayuran yang ditambah sedikit nikortin supaya kurangkan ketagihan merokok," ujar penggemar vape itu lagi.
Sementara itu, pengguna tegar vape, Dazrine Dannz, 32, berkata dia kini kurang berasa penat dan lesu berbanding ketika menjadi perokok.
"Sebelum ini saya perokok tegar.
"Kenapa saya pilih vape? Sebab saya rasa ada perubahan dalam diri. Kalau dulu saya rasa letih dan lesu, tapi sekarang tidak lagi," katanya.
Pengunjung yang hadir semalam turut berpeluang merasa sendiri pelbagai perisa baru yang diketengahkan oleh usahawan vape.
Antara perisa yang membuat kemunculan sulung semalam ialah perisa apam balik, harum manis serta tongkat ali.
Ada juga kalangan pengemar vapor membuat pembelian borong apabila pengusaha menawarkan diskaun untuk setiap produk mereka.
Kebanyakan pengusaha memberitahu, tawaran harga istimewa biasanya hanya dibuat ketika ada festival saja.
Penganjur memberitahu festival ini akan menerima tetamu istimewa hari ini iaitu Ketua Penerangan Majlis Belia Selangor yang juga anak timbalan perdana menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
