M'sia cuma negara transit pengganas
Dakwaan bahawa pengganas antarabangsa memilih Malaysia sebagai tempat perlindungan tidak dapat disahkan kebenarannya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi.
“Sebaliknya berdasarkan risikan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia hanyalah merupakan negara transit sahaja untuk membolehkan mereka bergerak ke negara ketiga,” katanya.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis di parlimen, menjawab soalan-soalan daripada lima anggota Dewan Rakyat.
Beliau juga memberitahu dewan bahawa tahap keselamatan negara dalam keadaan baik dan terkawal daripada anasir pengganas dalam dan luar negara.
Zahid bagaimanapun tidak menolak terhadap segelintir rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan kumpulan seperti Negara Islam (IS) di Timur Tengah.
Sementara itu, beliau juga mendedahkan, seramai 132 orang telah ditahan hasil kerjasama PDRM dengan agensi risikan antarabangsa.
Daripada jumlah itu, katanya, 22 dikenakan tindakan bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), 38 orang dibebaskan, 48 sedang didakwa di mahkamah, 14 diusir ke luar negara dan seorang lagi dalam siasatan.
“Bagaimanapun, saya tidak berhasrat untuk mendedahkan secara terperinci maklumat mereka berikutan masih terapat siasatan polis yang sedang dijalankan,” katanya.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.