Fariz, Adam kemuka reprentasi terhadap tuduhan sertai perhimpunan
Pengerusi Jingga 13, Mohd Fariz Abd Talib @ Musa dan Adam Adli Abd Halim akan mengemukakan representasi ke Jabatan Peguam
Negara berhubung pertuduhan terhadap mereka yang menyertai perhimpunan #KitaLawan Februari lalu.
Peguam Michelle Yesudas menyatakan perkara tersebut di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur ketika kes terhadap kedua anak guamnya itu disebut di hadapan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris.
Mengikut pertuduhan Mohd Fariz dan Adam Adli didakwa menyertai protes tersebut bermula di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Esplanade KLCC di ibunegara antara jam 4 petang dan 7.30 malam 28 Februari lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) APA 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Michelle memberitahu bahawa kedua-dua anak guamnya juga akan memfailkan permohonan untuk merujuk isu perlembagaan terhadap pertuduhan yang sama mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Berikutan itu, mahkamah memerintahkan beliau memfailkan permohonan secepat mungkin dan menetapkan 21 Dis untuk pendengaran permohonan tersebut.
Dalam prosiding hari ini hanya Mohd Fariz yang hadir.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaitul Faridah Raja Zaharudin.
- Bernama

