Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengesahkan bahawa usul bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 hanya akan dibentangkan di Parlimen selepas proses mahkamah selesai dilakukan.

"Kita hanya akan boleh kemukakan usul (Rang Undang-Undang Persendirian) bagi meminda akta itu selepas proses di mahkamah selesai sebelum memilih tarikh baru untuk kemukakan semula usul untuk meminda akta itu," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan lobi Parlimen hari ini.

Pada 13 Oktober, Mahkamah Tinggi menetapkan 9 November ini untuk keputusan permohonan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan empat yang lain bagi membatalkan saman empat individu berhubung pembentangan rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dalam sidang Parlimen.

Pada 12 Jun lepas, empat individu itu menfailkan saman pemula bagi menghalang pembentangan rang undang-undang itu di Parlimen. PAS bagaimanapun mengemukakan permohonan kepada mahkamah bagi membatalkan injuksi berkenaan pada 2 Julai lepas.

- Bernama