Mahkamah Persekutuan hari ini menolak usul yang difailkan oleh Gerakan untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan tetapi telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Mac lalu.

Parti komponen BN itu memohon kebenaran untuk mengemukakan empat soalan perlembagaan kepada mahkamah tertinggi, yang juga berfungsi sebagai mahkamah perlembagaan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zaharah Ibrahim menolak permohonan itu atas alasan bahawa ketiga-tiga pemohon gagal untuk mendedahkan bagaimana undang-undang itu memberi kesan kepada mereka dan membuktikan sama ada mereka memang adalah beragama Islam.

"Saya sudah meneliti afidavit para pemohon dan tidak mendapati dalam afidavit, satu kenyataan bahawa hak mereka secara spesifik terjejas atau akan terjejas oleh undang-undang yang dicabar.

"Oleh itu, usul itu ditolak dengan tiada perintah tentang kos," katanya.

Anggota Gerakan Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie memfailkan usul berkenaan pada 8 Mei tahun ini memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan (Pindaan 2015).

Hakim Zaharah menjelaskan bahawa pelbagai pihak berkuasa dirujuk oleh pihak yang dinyatakan bahawa undang-undang tersebut telah dicabar di bawah Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan mesti mempunyai hubungan langsung kepada hak pihak yang mencabar undang-undang, bahawa undang-undang tersebut menjejas atau akan memberi kesan kepada hak spesifik.

"Undang-undang yang dicabar hanya terpakai kepada orang Islam. Tetapi tiada dalam kandungan afidavit kenyataan bahawa ada pemohon yang Islam dan oleh itu akan tertakluk kepada undang-undang yang dicabar," katanya lagi.

Ketiga-tiga pemohon diwakili oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, Harpal Singh dan Andy Yong manakala peguam kanan Sulaiman Abdullah mewakili kerajaan negeri Kelantan.

[Baca berita penuh]