Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Negara juga diselubungi jerebu politik, kata Muhyiddin

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap masalah politik di negara ini diselesaikan segera agar tidak memberi implikasi buruk terhadap ekonomi negara.

Berucap pada majlis minum petang bersama Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di ibu negara hari ini, katanya, kenyataan yang mendakwa fundamental politik tidak perlu diambil kira untuk menangani masalah ekonomi adalah tidak tepat.

Malah, beliau berkata, ketika ini juga sudah timbul situasi apabila ada pihak yang tidak yakin dengan sistem yang ada di negara ini berikutan "isu" tertentu.

"Soalnya tidak ada kepercayaan dalam Malaysia ini terutamanya dalam soal politik yang melibatkan soal ketelusan, intigriti.

"Ini memberi kesan kepada keyakinan. Dalam bidang perniagaan pun kalau tidak ada keyakinan dengan suasana perniagaan kita, ia diselubungi jerebu-jerebu politik selain jerebu yang semakin teruk sekarang ini.

"Kalau isu itu tak dapat diselesaikan dalam tempoh segera, ia akan membawa implikasi politik dan saya bimbang masalah ekonomi ini pun akan ambil masa lebih lama (untuk diselesaikan)," katanya.

Muhyiddin sebelum itu juga menyentuh mengenai suasana ekonomi yang muram dan cabaran yang dihadapi oleh peniaga berikutan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Selain itu, timbalan presiden Umno itu berkata, walaupun kerajaan turut mengalami masalah, namun beliau berharap kepercayaan pelabur dapat dikembali bagi memulihkan keadaan ekonomi semasa.
"Saya sedar kerajaan sendiri pun berdepan masalah kewangan yang menurun.
"(Tetapi) kita perlu selesaikan masalah untuk dapatkan balik kepercayaan yang hilang. Ini soal pokok yang biasa. Perlu diberi perhatian," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS